Doktor pakar yang membedah kanak-kanak autistik membuat kesimpulan di Mahkamah Sesyen di sini bahawa Zayn Rayyan mati dijerut di leher.
Pakar Perubatan Perunding Forensik Jusa C (M), Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian mangsa, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Baca juga: Ibu Selamat Lahirkan Anak Keenam Seberat 7kg, ‘Bayi Gergasi’ Diberi Nama Amirkhann
ZAYN RAYYAN MATI DIJERUT DI LEHER, BUKAN SEBAB LEMAS

Dapatan itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat ketika beliau berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, pada jam 12 tengah hari, 7 Disember 2023 lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Dr Rohayu, 54, berkata, jerutan di leher mungkin boleh berlaku contohnya menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal maka, ia bukan disebabkan mati lemas.
“Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati hingga mengakibatkan kematian.
“Terdapat kesan jerutan di leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri termasuk otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam,” katanya.
Hasil bedah siasat turut mendapati beberapa kesan trauma dari objek tumpul dan tajam.
Selain itu saksi yang berkhidmat dalam bidang perubatan forensik semenjak tahun 2003 berkata, terdapat benda asing ditemui pada rongga pernafasan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Lelangit kanak-kanak autistik itu dikatakan lebam, menunjukkan benda asing terbabit dimasuk secara paksa ke dalam mulut.
Di bahagian dubur kanak-kanak itu pula, terdapat luka-luka koyak dan lelesan akibat objek tumpul yang dimasukkan.
“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.
“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” jelasnya.
Hirisan turut dikesan di belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan.
Kecederaan yang berlaku di bahagian si mati adalah kecederaan baharu kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki katanya, hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air, ia bukan punca kematian kerana Zayn Rayyan tidak mati lemas dalam air.
“Jasad si mati telah mula membusuk, berdasarkan warna kulitnya yang kehijauan, mengelupas dan abdomen yang mengembung. Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk atau menendang dilihat pada mangsa,” ujarnya.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Baca juga: Kes Samun Rumah Guna Taktik Baru, Matikan Fius Elektrik & Serang Bila Tuan Rumah Keluar!
Sumber: Sinar Harian
