Seorang jurugambar tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mengakui mengambil makanan kenduri tanpa meminta kebenaran ketika bertugas di sebuah majlis perkahwinan kliennya.
Perkongsian yang dimuat naik di Threads itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Baca juga: Belajar Lebih Interaktif, Semua Tabika KEMAS Dijangka Lengkap Dengan Smartboard Tahun Depan
JURUGAMBAR MINTA MAAF SELEPAS AMBIL MAKANAN KENDURI TANPA IZIN

Foto: Threads @akuhavoc_
Menerusi hantaran tersebut, jurugambar memaklumkan insiden itu berlaku ketika dia bertugas di majlis perkahwinan pasangan Haziq dan Safia pada Ahad, 19 Julai lalu.
Dalam permohonan maafnya, dia mengakui telah mengambil makanan yang disediakan di majlis berkenaan tanpa jemputan atau kebenaran daripada pihak pengantin.
“Saya ingin memohon maaf atas kesilapan saya semasa bertugas di sebuah majlis perkahwinan klien saya pada Ahad, 19 Julai lalu.
“Saya mengakui bahawa saya telah mengambil makanan tanpa jemputan atau kebenaran daripada pihak klien saya. Saya sedar tindakan tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.”
Menurutnya, dia benar-benar menyesali perbuatannya dan menganggap insiden itu sebagai satu pengajaran besar buat dirinya.
Bayar Ganti Rugi RM500 Seperti Diminta Klien

Foto: Threads @akuhavoc_
Jurugambar itu turut memaklumkan bahawa isu berkenaan telah diselesaikan secara baik dengan pihak pengantin.
Bagi memenuhi permintaan klien, dia telah membuat bayaran ganti rugi sebanyak RM500, selain memuat naik permohonan maaf secara terbuka tanpa mendedahkan identiti pasangan pengantin tersebut.
Dalam hantaran susulan, dia turut berkongsi bukti transaksi pembayaran sebagai tanda bahawa perkara itu telah diselesaikan.
Menurutnya lagi, pihak klien tidak menetapkan jumlah bayaran tertentu, namun dia sendiri memilih untuk membayar RM500 bagi menunjukkan tanggungjawab serta menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
Sudah Terbiasa Dijemput Makan Ketika Bertugas
Menjelaskan situasi sebenar, jurugambar itu berkata dia sudah biasa dengan keadaan di mana tuan rumah atau pihak pengantin menjemput jurugambar serta juruvideo menikmati hidangan ketika bertugas.
Namun kali ini, dia mengakui terlupa untuk mendapatkan keizinan terlebih dahulu sebelum mengambil makanan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan menjadi pengajaran supaya dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Harap Jadi Peringatan Kepada Jurugambar Lain

Foto: Threads @akuhavoc_
Di akhir kenyataannya, dia berharap insiden tersebut dapat dijadikan iktibar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada semua jurugambar dan juruvideo yang bertugas di majlis pelanggan.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang berpendapat tindakan jurugambar itu sememangnya salah kerana mengambil makanan tanpa meminta keizinan terlebih dahulu, walaupun hanya bertugas di majlis berkenaan.
Pada masa sama, tidak kurang juga yang menyifatkan pihak tuan rumah atau pengantin terlalu berkira sehingga meminta bayaran ganti rugi, malah ada yang melabel mereka sebagai “kedekut”.
Namun, ramai turut mengingatkan bahawa makanan yang disediakan di majlis perkahwinan merupakan hak tuan rumah, justeru sebarang pengambilan makanan wajar dibuat selepas mendapat keizinan bagi mengelakkan salah faham.
Baca juga: Silap Lafaz, Menyesal Seumur Hidup! Ini 6 Jenis Cerai Yang Tak Boleh Dirujuk Semula
Sumber: Threads @akuhavoc_
