Hal peribadi seperti kes suami curang yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup, kini menjadi tontonan umum kerana ‘dibongkarkan’ di media sosial.
Terbaharu, isu suami curang bersama seorang guru yang kini tular di pelbagai platform, membuka satu lagi bab dalam perbincangan besar tentang aib, undang-undang dan ‘pengadilan netizen’.
KES SUAMI CURANG: TINDAKAN VIRALKAN ‘PENYONDOL’ TAK BETUL

Freepik (Sekadar gambar hiasan)
Menerusi laman Facebook milik Nor Zabetha, dia menjelaskan bahawa masih ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu mengenai undang-undang Malaysia.
Hal ini termasuklah mendedahkan ‘penyondol’ dan menyebarkan mesej peribadi di media sosial tanpa kebenaran merupakan satu tindakan yang boleh mengundang implikasi undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang sivil berkaitan reputasi serta privasi.
“Jelas dengan cara tularkan mesej-mesej whatsapp dari segi undang-undang itu memang si cikgu boleh menyaman kerana jatuhkan reputasi. Segala mesej kelucahan dimuat naik, video konfrontasi dengan cikgu dimuat naik dan ditularkan semuanya difokuskan tentang cikgu ini. Sikit sangat fokus pada si suami.
“Apa yang telah dilondehkan oleh pasangan ini sewaktu mereka curang antara mereka dalam whatsapp, sekarang dilondehkan di khalayak ramai untuk tontonan kita semua. Seperti didedahkan segala aib sehingga tiada seurat benang pun yang tinggal untuk tatapan kita semua.
“Kalau di mahkamah, kumpulan yang konfrontasi dan memuatnaik video dan segala mesej kelucahan ini memang boleh diambil tindakan. Sama ada bawah kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan yang jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menganiaya dan menyakitkan hati orang lain,” jelasnya.
Selain itu, tuntutan sivil bagi menjatuhkan reputasi boleh dilakukan walaupun si skandal dan suami bersalah. Ini merupakan proses dan undang-undang mahkamah yang perlu anda faham serta ikut.
Jadi, dalam apa jua situasi termasuk kes suami curang atau skandal rumah tangga, undang-undang tetap perlu dijadikan panduan, bukan emosi.
Mendedahkan aib, menyebarkan mesej peribadi atau video konfrontasi mungkin memberi kelegaan sementara, namun ia berpotensi menjadi satu lagi kesalahan yang boleh diheret ke mahkamah.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Isteri Mualaf Nekad Murtad, Luah Menyesal Kahwin Dengan Suami Kerana Selalu Dilayan Buruk
Sumber: Facebook Nor Zabetha
