Tragedi Sungai Korok yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jitra, Kedah masih segar dalam ingatan ramai. Namun, di sebalik peristiwa pilu itu, muncul sebuah kisah kekuatan luar biasa seorang kanak-kanak bernama Putri Qisya Nur Izzat yang terus bangkit meneruskan kehidupan.
Putri Qisya, 12 tahun, satu-satunya anak yang terselamat dalam kemalangan tersebut, baru-baru ini menerima Anugerah Tokoh Murid di sekolahnya, satu pengiktirafan yang menyentuh perasaan ramai apabila video detik itu tular di media sosial.
Baca juga: Berat Mata Memandang Ujian Arisya Di Usia 3 Tahun, Hilang Sebelah Buah Pinggang Akibat Kanser
TRAGEDI SUNGAI KOROK: PUTRI QISYA DIANUGERAHKAN TOKOH MURID

Gambar: Facebook Norsidah Dhiya
Rakaman berkenaan dikongsi oleh pengguna Facebook, Norsidah Dhiya, memaparkan Putri Qisya kelihatan kuat dan tersenyum indah ketika melangkah ke pentas bagi menerima anugerah tersebut. Kemudian, berdiri teguh di hadapan khalayak.
“Takdir Allah mendahului segalanya. Empat bulan yang lalu kehilangan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata. Ujian amat berat untuk seorang anak kecil berusia 12 tahun.
“Tetapi, di sebalik kesedihan itu, terserlah kekuatan yang luar biasa dalam dirinya. Dia tidak memilih untuk jatuh, malah bangkit dengan semangat yang lebih utuh. Di sebalik segala pencapaian ini, dia tetap merendah diri dan sentiasa disenangi guru dan rakan.
“Semangatnya tidak pernah luntur, walau diuji dengan kehilangan paling besar dalam hidupnya. Cita‑citanya jelas, ingin menjadi seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia agar mampu berbakti kepada negara dan mengangkat nama keluarga yang amat dicintai.
“Matlamat murid ini ialah melakukan yang terbaik hari ini. Percaya setiap langkahmu membawa bahagia dari takdir yang indah. Ketukuhan dan kewibawaan murid ini serta sikap bertanggungjawab menghormati guru dan rakan‑rakan memberi impak yang sangat besar untuk ditabarkan sebagai Tokoh Murid bagi sesi akademik 2025.

Gambar: Facebook Norsidah Dhiya
“Murid yang dimaksudkan dialah adik Putri Qisya Nur Izzat yang terus kuat menghadapi kehidupan selepas kehilangan ibu bapa dan empat adik‑beradiknya dalam tragedi Sungai Korok, Jitra yang meragut nyawa enam sekeluarga.
“Putri Qisya, satu‑satunya yang terselamat ketika kejadian itu, kini menerima sokongan daripada pihak pendidikan serta masyarakat untuk meneruskan kehidupannya dan mencapai cita‑citanya,” tutur pengacara majlis yang juga kedengaran sebak suaranya.
Sementara itu, Norsidah Dhiya turut menitipkan doa agar Putri Qisya terus cemerlang dan dilindungi dalam setiap langkah kehidupannya.
“Tahniah Qisya. Terbanglah tinggi. Kejar dan capailah cita-citamu. Moga Allah mudahkan dan lindungi Qisya selalu,” kongsinya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warga maya mengakui gagal menahan air mata selepas menonton video tersebut, selain mendoakan agar Putri Qisya terus tabah dan berjaya merealisasikan impiannya suatu hari nanti.
Terdahulu, Putri Qisya telah menerima tajanaan penuh pengajian daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK). Malah, beliau juga dijadikan anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan akan dibantu mendapatkan tempat di MRSM serta dipantau sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Sebagai imbasan, tragedi menyayat hati itu melibatkan enam sekeluarga iaitu Muhammad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan.
Kehilangan keluarga tersebut terungkai selepas orang awam melihat bumbung sebuah kereta terapung di permukaan Sungai Korok, sebelum enam sekeluarga ditemukan tidak bernyawa di dalam kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai.
Difahamkan, ketika kejadian, Putri Qisya tidak mengikut keluarganya kerana hatinya berasa berat untuk turut serta.
Sumber: Facebook Norsidah Dhiya
FT Image: Sinar Harian / Facebook Norsidah Dhiya
