Kisah Putri Qisya Nur Izzat kembali menyentuh hati ramai apabila remaja berusia 13 tahun itu akhirnya berjaya menunaikan impian arwah ibu bapanya, selepas melalui ujian hidup yang amat berat pada usia muda.
Di mana, hasrat kedua-dua arwah mahu melihat Qisya menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Baca juga: Berat Mata Memandang Ujian Arisya Di Usia 3 Tahun, Hilang Sebelah Buah Pinggang Akibat Kanser
PUTRI QISYA TERPILIH MASUK KE MRSM, HASRAT ARWAH IBU BAPANYA TERCAPAI!

Qisya merupakan anak sulung kepada pasangan yang terkorban dalam tragedi enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra, sebelum ini.
Kehilangan kedua-dua ibu bapa serta empat adik secara serentak bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, namun Qisya memilih untuk bangkit demi masa depan.
Menurut Qisya, peluang melanjutkan pelajaran ke MRSM bukan sahaja satu pencapaian peribadi, malah menjadi simbol kepada hasrat arwah ibu bapanya yang ingin melihat dia berjaya dalam bidang akademik.
“Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila diterima memasuki MRSM sebagaimana yang diharapkan oleh arwah walid dan umi,” katanya.
QISYA ANTARA 7,000 CALON BERJAYA DITAWARKAN DARIPADA 100,000 PERMOHONAN

Berita gembira itu turut dikongsikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu panggilan video bersama Putri Qisya dan neneknya.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau memaklumkan bahawa pemilihan Qisya adalah satu peluang istimewa memandangkan lebih 100,000 permohonan diterima setiap tahun, namun hanya sekitar 7,000 calon berjaya ditawarkan tempat.
Walaupun diuji dengan kehilangan besar, Putri Qisya tetap cekal meneruskan kehidupan. Buat sementara waktu, dia membantu neneknya berniaga roti canai di Pendang sebelum melapor diri ke MRSM Kubang Pasu dalam masa terdekat.
Datuk Dr Asyraf Wajdi turut menasihatkan Qisya agar sentiasa yakin bahawa ilmu merupakan kunci utama untuk mengubah kehidupan, di samping tidak melupakan amalan membaca al-Quran serta memperbanyakkan doa buat arwah ibu bapa dan adik-adiknya.
Dalam perkembangan sama, MARA turut mengambil Putri Qisya sebagai anak angkat dan akan memastikan laluan pendidikannya terus terpelihara melalui sokongan berterusan menerusi Program BUDI sehingga ke peringkat tertinggi.
Untuk rekod, tragedi yang meragut nyawa enam sekeluarga itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Taman Aman ke Jerlun pada awal pagi. Kenderaan dinaiki mangsa ditemukan terapung di Sungai Korok, dengan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia.
Putri Qisya menjadi satu-satunya anak yang terselamat kerana ketika kejadian, dia berada bersama neneknya.
Kini, kejayaannya melangkah ke MRSM bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi lambang ketabahan seorang anak yang terus melangkah walau diuji kehilangan yang tidak terbayang.
@drasyrafwajdi HASRAT ARWAH IBU AKHIRNYA TERCAPAI: ADIK QISYA TERPILIH KE MRSM Beberapa bulan lalu, saya pernah berkongsi kisah Adik Puteri Qisya Nur Izzat anak yang sangat tabah setelah kehilangan ibu bapa serta adik beradik yang lain dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra. Antara impian arwah ibunya ialah melihat Qisya menjejakkan kaki ke MRSM suatu hari nanti. Hari ini dengan izin Allah, impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Saya sempat ber'VC' bersama Adik Qisya dan neneknya petang tadi. Walaupun diuji pada usia muda, adik Qisya tetap kuat, dia kini membantu nenek berniaga roti canai di Pendang sebelum menyambung pelajarannya di MRSM minggu hadapan. Saya mengucapkan tahniah kepada adik Qisya kerana berjaya terpilih ke MRSM satu peluang istimewa memandangkan lebih 100,000 permohonan diterima, namun hanya sekitar 7,000 lebih yang berjaya dan dia antara yang bertuah itu. Saya menasihatkan beliau supaya sentiasa yakin bahawa ilmu sahajalah yang mampu mengubah kehidupan. Jangan lupa membaca al-Quran, memperbanyakkan doa untuk arwah ibu dan ayahnya serta memanfaatkan peluang di MRSM sebagai medan membina masa depan. InsyaAllah, doa kedua ibubapanya yang telah pergi akan terus mengiringinya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, MARA telah mengambil Qisya sebagai anak angkat. Melalui program BUDI dan bimbingan berterusan, MARA akan memastikan laluan pendidikannya terjaga sehingga ke peringkat tertinggi. Qisya tidak keseorangan, ramai yang sedia membantu dan mendoakannya. Semoga Allah memelihara hatinya yang tabah, menerangi perjalanan hidupnya dengan cahaya ilmu dan masa depan yang gemilang. Al-Fatihah buat seluruh keluarga adik Qisya dan semoga syurga menjadi tempat mereka. #MerakyatkanMARA #MARAGemilang #HidupKuMilikUmmah #HidupBiarBerjasa
Baca juga: Bayi 2 Bulan Cirit-Birit Meninggal Dunia, Selepas Diberi Minum Minyak Herba Oleh Bidan Kampung!
Sumber: Facebook Datuk Dr Asyraf Wajdi
FT Image: Facebook Datuk Dr Asyraf Wajdi
