Pengalaman berbuka puasa di masjid sering dianggap biasa bagi sesetengah orang. Namun, bagi yang pertama kali mencuba, perasaan segan dan malu itu memang ada. Terasa seperti meminta-minta, apatah lagi bila perlu beratur mengambil makanan.
Itulah yang dikongsikan oleh Nur Farhana Aziz menerusi hantaran Facebooknya.
Baca juga: Jangan Salah Tempat! Ini Senarai Lengkap Bazar Ramadan 2026 Kuala Lumpur, Selangor & Putrajaya
PENGALAMAN IBU TEPIS RASA MALU BERBUKA PUASA DI MASJID

Gambar: Nur Farhana Aziz
Menurut Nur Farhana, enam tahun lalu ketika mula membawa anak-anak berbuka di masjid, perasaan malu memang tidak dapat dielakkan. Namun demi mendidik diri dan keluarga, beliau nekad buang rasa itu.
Hari ini, apabila tiba Ramadan, anak-anak sendiri yang teruja menyebut mahu berbuka di masjid.
Dari rasa malu jadi tradisi keluarga
Menurut perkongsiannya, antara perkara paling bermakna sepanjang enam tahun itu ialah:
- Dalam seminggu, lima hari berbuka di masjid sama (Masjid Perda).
- Dua hari lagi bertukar-tukar masjid untuk rasa suasana berbeza.
- 10 malam terakhir dipilih masjid yang sama untuk fokus ibadah.
- Sahur, tahajud berjemaah dan berbuka dilakukan di lokasi tersebut.
Nur Farhana juga pernah melalui situasi makanan habis ketika pertama kali ke sebuah masjid. Saat itu, dia dan anak-anak hanya duduk tenang walaupun hati sebak kerana menyangka tiada rezeki.
Namun tanpa disangka, beberapa keluarga datang berkongsi makanan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya cukup untuk mereka semua.
“Ada hari lauk tawar, ada hari lauk sedap sangat. Ada hari lauk biasa-biasa. Bila anak cuba nak berbunyi, masa itulah kita ajar tentang syukur dan reda,” kongsinya.
Baca juga: Makan Awal Lepas Tarawih Dikira Bersahur Ke? Hati-Hati Pilih Waktu, Risau Tak Dapat Pahala Sunnah
PANDUAN UNTUK YANG TERINGIN BERBUKA DI MASJID TAPI MASIH SEGAN
Selain tip daripada Nur Farhana Aziz, warga maya turut berkongsi pengalaman mereka yang sudah bertahun-tahun mengamalkan iftar berjemaah. Berikut antara panduan yang boleh dijadikan rujukan:
1. Tepis rasa malu dan rendah diri
Jangan anggap berbuka di masjid seperti meminta-minta. Niatkan untuk mencari keberkatan dan mendekatkan diri kepada Allah.
2. Bawa sedikit juadah dari rumah
Contohnya kuih-muih, buah atau peneram mini. Serahkan kepada urusetia atau kongsi bersama jemaah. Secara tidak langsung kita turut menjadi pemberi.
3. Ambil makanan secara sederhana
Ambil sedikit dahulu. Jika tidak cukup, boleh tambah. Ajar anak-anak supaya tidak tamak dan faham konsep berkongsi.
4. Jadikan ia pengalaman didik anak
Ada hari makanan banyak, ada hari sederhana. Gunakan situasi itu untuk ajar tentang syukur, sabar dan reda.

Gambar: Nur Farhana Aziz
5. Bertukar-tukar masjid
Cuba masjid berlainan untuk rasa suasana berbeza dan kenal komuniti lain. Ini juga dapat eratkan ukhuwah.
6. Pilih masjid sesuai untuk 10 malam terakhir
Utamakan masjid yang ada kemudahan sahur, ruang iktikaf dan solat tahajud berjemaah.
7. Datang awal & urus masa makan
Makan sekadar perlu supaya tidak terlalu kenyang sebelum Maghrib, Isyak dan Terawih.
8. Fahami kita juga meraikan sedekah orang lain
Seperti dikongsikan seorang netizen, menerima makanan berbuka juga satu cara meraikan niat baik penyumbang.
Baca juga: Masjid Di Kedah Ada ‘Indoor Theme Park’ Buat Ramai Teruja, “Budak Umur 27 Boleh Main Tak?”
Ramai dalam kalangan warga maya berkongsi bahawa pengalaman iftar di masjid memberi ketenangan yang sukar digambarkan. Sambil menunggu waktu berbuka, boleh membaca al-Quran, berzikir dan menikmati suasana berjemaah yang mendamaikan.
Malah, ada yang sudah lebih 10 tahun menjadikan ia rutin Ramadan kerana merasakan ia lebih bermakna berbanding berbuka secara tergesa-gesa di luar.
Mungkin bagi yang belum pernah mencuba, langkah pertama itu paling sukar. Tetapi seperti kata Nur Farhana Aziz, buang rasa malu dan niatkan kerana Allah. Insya-Allah, pengalaman pertama itu akan jadi kenangan manis yang mahu diulang setiap tahun.
Sumber: Facebook Nur Farhana Aziz
FT Image: Nur Farhana Aziz
