Filem animasi Malaysia bukan sahaja mencuri perhatian anak-anak kecil, malah mampu memikat hati rider Harley-Davidson yang sinonim dengan imej garang dan bertenaga.
Sempena tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), sekumpulan penunggang Harley dari Harley Owners Group Kuala Lumpur Route 77 (HOGKL) membuktikan bahawa mereka juga punya sisi lembut dan prihatin terhadap komuniti.
RIDER HARLEY-DAVIDSON SANTUNI ANAK YATIM TONTON EATM2

EATM2 untuk semua, HOGKL ‘ride’ demi misi gembirakan anak-anak yatim
Dalam satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyentuh hati, seramai 10 penunggang Harley telah berkonvoi dari HDKL Route 77 di Jalan Ampang menuju ke GSC Mid Valley Megamall.
Mereka di dalam misi membawa bersama 50 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Murni untuk menyaksikan tayangan istimewa filem animasi tempatan yang sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Bukan sekadar aktiviti konvoi biasa, program ini memberi pengalaman luar biasa kepada anak-anak yang dibawa keluar dari rutin harian mereka untuk menikmati hiburan berkualiti, sambil dikelilingi figura abang-abang Harley yang mesra dan penyayang.
Menurut Presiden HOGKL, Encik Mohamad Wira, filem Ejen Ali 2 bukan sekadar “kartun budak-budak”
“Kita ini nampak sahaja ganas, tapi cerita kartun pun kita layan! Ingat rider Harley tak tengok kartun ke? Kami pun teruja sangat nak tengok.
“Mula-mula ingat cerita budak-budak sahaja…sekali tengok, terus tercengang. Kalau nak cari salah dalam filem ini, memang tak jumpa. Perfect!” kata Encik Mohamad Wira, Presiden HOGKL.
Baca juga: SAYS Lancar Kempen ‘Furever Friends’, Tingkatkan Kesedaran Terhadap Kebajikan Haiwan!
Malah, para penunggang sendiri akui mereka terhibur dengan visual animasi berkualiti tinggi, mesej positif serta sound effect mantap yang menjadikan Ejen Ali The Movie 2 sebagai antara filem animasi Malaysia paling berimpak tinggi setakat ini.
Program ini bukan sahaja menghiburkan, malah memperkukuh hubungan komuniti antara peminat permotoran dan golongan yang memerlukan.
Ia juga menjadi bukti bahawa filem buatan tempatan mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, dari anak kecil hingga ke penunggang Harley berjaket kulit.
Dengan slogan “Misi Masih Aktif!”, anak-anak yatim dan abang-abang Harley sama-sama keluar dari pawagam dengan senyuman.
Semoga lebih banyak pihak tampil menyokong karya animasi tempatan seperti Ejen Ali The Movie 2 di pawagam dan meneruskan misi menyebar kegembiraan melalui cara yang unik seperti ini.
#ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY
Baca juga: TikTok Shop Raikan ‘Content Creator’, Sempena Catat Jualan 2x Ganda Ramadan & Raya!
