Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya yang diuji dengan penyakit genetik jarang berlaku iaitu Sindrom Alagille, sejak usia masih kecil. Kini, mereka sedang berusaha mengumpul dana sebanyak RM185,000 bagi membiayai kos pemindahan hati di China.
Anak kecil itu, Aisy Nur Dareesa Mohd Sahril Azuan, yang baru berusia tiga tahun namun telah melalui pelbagai prosedur rawatan sejak dilahirkan.
Baca juga: Budak 12 Tahun Buat Pengakuan Terakhir Sebelum Maut, Dedah Ibu Tiri Paksa Minum Air Panas Mendidih!
ANAK 3 TAHUN PERLUKAN BANTUAN UNTUK RAWATAN PENYAKIT GENETIK

Gambar Sinar Harian: Anisah sekeluarga menerima kunjungan PSBM diwakili Ying Kim.
Ibunya, Anisah Ab Rahim, 33, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan di Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka kerana kelahiran pramatang ketiadaan pakar.
“Anak saya lahir di Hospital Alor Gajah, namun dipindahkan ke Hospital Melaka kerana dilahirkan pramatang dan ketiadaan pakar di sana.
“Dia ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Melaka selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang.
“Selepas keluar dari NICU, dia mengalami jaundis berpanjangan. Setiap hari dan minggu kami berulang-alik ke klinik kesihatan untuk rawatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah kakaknya di Bertam.
Jalani pembedahan Kasai sebelum sah Alagille
Ketika berpantang di Johor, anaknya yang berusia 44 hari disahkan bebas jaundis. Namun selepas kembali ke Melaka, penyakit kuningnya meningkat semula.
“Doktor di Hospital Melaka kemudian merujuknya ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjalani pembedahan Kasai pada 18 Oktober 2023.
“Selepas pembedahan itu, anak saya ditidurkan hampir sebulan dan kami berkampung di hospital berkenaan sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah mendapati anaknya bukan menghidap atresia bilier, sebaliknya disahkan menghidap Sindrom Alagille melalui ujian genetik.
Baca juga: [VIDEO] Tragis Awal Pagi! Seorang Kanak-Kanak 6 Tahun Maut, Rentung Dalam Rumah Teres

Gambar Malaysia Gazette: Anisah merenung nasib dihadapi anak bongsunya, Aisy Nur Dareesa Mohd Sahril Azuan, tiga tahun yang disahkan mengidap Alagille syndrome sejak lahir dan memerlukan kos hampir RM200,000 untuk pembedahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China
Perlu RM185,000 untuk pemindahan hati
Kini, keluarga itu sedang mengumpul dana sebanyak RM185,000 bagi membiayai kos pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China.
“Setakat ini, kami berjaya mengumpul sekitar RM37,000. Jika kutipan mencukupi, kami akan ke sana secepat mungkin untuk menjalani pembedahan dan saya sendiri akan menjadi penderma hati.
“Kos itu termasuk pembedahan serta perbelanjaan sepanjang berada di hospital di sana, namun tempoh menetap bergantung kepada perkembangan selepas pembedahan,” katanya.
Anisah yang juga kakitangan GiatMara berkata, keadaan kewangan keluarga agak terjejas kerana suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas perkhidmatannya ditamatkan ketika menguruskan anak yang sakit.
“Memang agak perit dari segi kewangan kerana sebelum ini setiap bulan kami perlu ke Johor Bahru, dalam masa sama setiap minggu ke Kuala Lumpur dan Melaka untuk rawatan susulan.
“Kini rawatan di Johor Bahru sudah berkurangan dan kami lebih fokus di Melaka serta Kuala Lumpur. Di Melaka, temu janji enam bulan sekali manakala di Hospital Tunku Azizah pula setiap tiga bulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban mereka.
“Saya tahu rakyat Malaysia ramai yang prihatin. Jika tidak mampu membantu dari segi kewangan, saya mohon bantu uar-uarkan usaha kutipan dana ini. Seorang hulur RM1 pun saya sudah sangat bersyukur,” katanya.
Hadir sama, wakil Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM), Dr Khor Ying Kim yang turut menyampaikan sumbangan kit makanan serta barangan keperluan asas dan wang tunai.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 05021020562854 atas nama Anisah Ab Rahim.
Baca juga: APM Bantu Pindahkan Pesakit 300kg Ke HSNZ Guna Lori, Ramai Terkejut & Ini Reaksi Warga Maya
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Malaysia Gazette
