Sumbangan dana bernilai RM120,000 dirayu oleh seorang ibu bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati anak bongsunya yang baru berusia setahun. Kanak-kanak tersebut, Nur Adresia Ariana Norhaslan, kini menjalani rawatan di Hospital Renji, China selepas disahkan menghidap sindrom Alagille.
Ibunya, Nurfuzaina Azmi, 31, menjelaskan keadaan Adresia bertambah kritikal selepas pembedahan pertama apabila berlaku tindak balas penolakan imun hiperakut serta jangkitan kuman. Keadaan itu memaksa pasukan perubatan melakukan pembedahan kecemasan kedua bagi menyelamatkan nyawanya.
IBU RAYU SUMBANGAN DANA RM120,000 UNTUK RAWATAN ANAK

NUR ADRESIA (gambar kecil) terpaksa berada lebih lama di hospital selepas komplikasi pembedahan hati di Hospital Renji di China sejak tiga minggu lalu.
Sindrom Alagille sendiri merupakan penyakit genetik yang menjejaskan jumlah saluran hempedu dalam hati. Dalam pembedahan pertama, hati Adresia didermakan oleh bapanya, Norhaslan Hussain, 41, namun komplikasi selepas itu menyebabkan usaha rawatan menjadi lebih mencabar.
“Alhamdulillah, pembedahan kedua berjalan lancar dan keadaan Adresia pun semakin stabil selepas tiga minggu berada di unit rawatan rapi (ICU) walaupun kami sekarang terpaksa mencari dana untuk kos rawatan tambahan.
“Sekarang kami sudah menerima kutipan dana sebanyak RM70,000 dan memerlukan lagi RM50,000 untuk membiayai pembedahan kecemasan yang kedua,” katanya.
Baca juga: Tragedi Duka Selepas Cuti Penggal, Ibu Maut Kemalangan Semasa Hantar Anak 5 Tahun Ke Sekolah!
Menurut Nurfuzaina, mereka sekeluarga kini mendapat sokongan daripada sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang tampil membantu kos rawatan Adresia, termasuk perbelanjaan asas untuk keluarga.
Namun begitu, mereka masih menunggu maklum balas daripada permohonan bantuan yang telah diajukan kepada pihak Baitulmal.
“Sebelum ini, kos rawatan memang kami tanggung sepenuhnya sendiri. Sampailah kami terima bantuan daripada organisasi yang sudi membantu dalam meneruskan rawatan Adresia menambah kos perbelanjaan tanpa caj tambahan atau komisen untuk menampung kos perbelanjaan dan rawatan,” ujarnya lagi.
Nurfuzaina juga mengakui, sejak Adresia didiagnosis dengan sindrom Alagille selepas demam kuningnya tidak surut, dia dan suami sentiasa mencari jalan mendapatkan sokongan kewangan termasuk daripada NGO lain bagi menampung kos tinggi rawatan.
Buat masa ini, pasangan suami isteri itu hanya mampu menunggu perkembangan positif selepas Adresia dipantau rapi di hospital selama lebih tiga minggu sebelum mereka dibenarkan pulang ke tanah air.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, sumbangan boleh disalurkan ke akaun:
- Pertubuhan Biliary Atresia Semalaysia – 1102310504 (Bank Rakyat).
Baca juga: Tular Netizen Kongsi Pengalaman Koma Masing-Masing, Ada Yang Trauma Teringat Jeritan Minta Tolong!
Sumber: Kosmo!
FT Image: Kosmo!
