Baru-baru ini, topik kahwin sepupu kembali menjadi perbualan hangat, terutamanya apabila ada seorang influencer memaparkan kisah manis perkahwinan sebegini di laman media sosial. Namun, dalam keasyikan berkongsi momen bahagia, jarang disentuh sisi-sisi penting lain yang juga wajar diberi perhatian khususnya dari sudut kesihatan dan tanggungjawab sosial.
Oleh itu, Dr. Zubaidi Hj Ahmad terpanggil untuk berkongsi mengenai perkahwinan sepupu yang sebenarnya tidaklah semanis yang disangka.
Baca juga: Kahwin Dengan Sepupu Berisiko Dapat Anak Lambat Perkembangan, Ini Hasil Kajian!
INFLUENCER SERONOK CERITA ‘MANIS’ KAHWIN SEPUPU, DOKTOR TAMPIL JELAS RISIKO

Foto hiasan.
Dalam banyak budaya, termasuk di Malaysia, perkahwinan antara sepupu bukanlah sesuatu yang asing. Malah, ia dianggap mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya:
1. Keserasian emosi: Hubungan yang telah lama wujud antara keluarga memudahkan kesefahaman antara pasangan.
2. Memperkukuh ikatan kekeluargaan: Kahwin sesama sepupu sering dilihat sebagai cara mengeratkan lagi silaturrahim.
3. Urusan lebih mudah: Dari segi logistik dan kos, banyak perkara menjadi lebih lancar kerana kedua-dua keluarga sudah saling mengenali.
Dalam sesetengah masyarakat, ini juga menjadi cara untuk mengekalkan harta, warisan atau status sosial dalam kalangan keluarga. Namun begitu, dari sudut kesihatan dan perubatan, perkahwinan sesama sepupu membawa risiko genetik yang tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana pasangan sepupu berkongsi sebahagian besar kod genetik yang serupa. Beberapa risiko utama termasuk:
1. Penyakit genetik: Sekiranya kedua-dua pasangan adalah pembawa gen penyakit resesif seperti thalassemia, cystic fibrosis, atau gangguan saraf seperti spinal muscular atrophy, risiko anak untuk mewarisi penyakit ini meningkat dua hingga tiga kali ganda.
2. Komplikasi kehamilan: Terdapat juga kemungkinan lebih tinggi berlakunya keguguran, kelahiran bayi pramatang, atau bayi dengan kecacatan fizikal dan mental.
ISLAM TAK LARANG TAPI…

Foto: Parenting
Menurut penjelasan Mufti, Islam tidak melarang perkahwinan sesama sepupu malah, terdapat kisah sahabat dan keluarga Nabi Muhammad SAW yang berkahwin dengan sepupu mereka. Namun begitu, Islam juga menekankan pentingnya penjagaan keturunan dan generasi masa hadapan.
Dalam konteks ini, saringan genetik sebelum berkahwin adalah sangat digalakkan. Ia bukan sahaja dapat membantu pasangan membuat keputusan yang lebih bijak, malah mencerminkan tanggungjawab mereka terhadap masa depan anak-anak. Masyarakat hari ini memerlukan maklumat yang seimbang. Cerita-cerita romantik yang dikongsi di media sosial tidak seharusnya menenggelamkan fakta-fakta saintifik yang boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan.
*Kesimpulannya, kahwin sepupu bukanlah sesuatu yang salah dari sudut agama, budaya mahupun undang-undang. Namun begitu, berkahwin dengan “orang jauh” seperti antara negeri, bangsa atau latar budaya juga membawa banyak kelebihan…
Baca juga: Keliru Bila Ustaz Luar Negara Cakap Trend ‘Edit’ Gambar Jadi Kartun Haram? Ini Penjelasan UAI
Sumber: Dr. Zubaidi Hj.Ahmad, Sinar Plus
