Kadang-kadang, pengorbanan ayah tak hadir dalam bentuk kata-kata manis atau pelukan yang selalu ditunjukkan. Ada ayah yang memilih untuk diam, tetapi dalam diam itulah tersimpan seribu satu usaha demi memastikan anaknya terus melangkah ke depan.
Itulah kisah yang dikongsikan oleh Muhammad Salim Harmanain, 36, seorang peguam yang mengakui kejayaannya hari ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan pengorbanan ibunya, Fatimah, 60, dan bapa, Harmanain Arshad, 65, sejak kecil hingga dewasa.
PENGORBANAN AYAH BANTU PENGHIDAP CEREBRAL PALSY BERGELAR PEGUAM

Muhammad Salim Harmanain bersama ibu dan bapanya.
Muhammad Salim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) membuktikan bahawa kekurangan itu bukan penghalang untuk berjaya.
Dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini sudah hampir empat tahun berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma guaman.
Namun di sebalik jubah peguam yang dipakai hari ini, dia sedar kejayaan diraih selama ini tidak mungkin dicapai tanpa ibu bapanya.
Perkongsian Salim di Threads sempena Hari Bapa baru-baru ini meraih perhatian ramai apabila dia menulis tentang kenangan yang tidak mungkin dilupakan bersama bapanya, Harmanain Arshad, 65.
Seorang ayah yang sentiasa ada di belakangnya sejak kecil, sewaktu zaman belajar, sehinggalah ketika dia menjalani latihan dalam kamar atau chambering.
“2016. Tahun chambering. Aku OKU kan. Ini masa aku pergi ethics exam. Bapak aku tolak kerusi roda dari Bar Council sampai ke parking kereta dekat area Menara Maybank. Jauh gila, sebab masa tu tak tahu nak parking dekat mana.
“Lepas tu, masa aku pergi Legal Aid selama 14 minggu, bapak aku ambil cuti lagi setiap minggu untuk teman aku ke Biro Bantuan Guaman. Pernah juga dia hantar aku ke ofis naik motor.
“So yeah, setiap kali Hari Bapa, aku mesti akan ingat memori ni. Bapak aku memang lelaki yang tak banyak cerita. Dia tak cakap banyak, dia buat je.
“Happy Father’s Day, bapak-bapak. Semoga semua terus kuat demi keluarga masing-masing,” kongsinya di hantaran tersebut.
Menurut Salim, dia bukanlah anak yang terlalu rapat dengan bapanya. Ayahnya seorang yang tegas dan tidak terlalu menunjukkan kasih sayang dengan kata-kata, walaupun dia merupakan anak tunggal dan hidup dengan kekangan fizikal.
“Ayah pun garang orangnya dan tak berlembut walaupun saya OKU. Ayah pun tak tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata.
“Sebaliknya ayah tunjukkan dengan perbuatan dan sebagai anak, itu lebih membuatkan saya tersentuh, juga terkesan di hati ini,” katanya kepada Harian Metro.

Antara yang paling diingati ialah usaha bapanya berulang-alik dari tempat kerja di Shah Alam ke kampusnya di Nilai setiap minggu ketika dia mengikuti pengajian peringkat asasi.
“Pernah satu masa, kerusi roda saya rosak dan hubungi ayah dalam waktu Maghrib. Selepas isyak, ayah sudah sampai dan hantar kerusi roda.
“Boleh dikatakan, ayah sanggup datang ke kampus bila-bila masa diperlukan kemudian bawa saya pulang ke rumah setiap minggu,” katanya lagi.
Malah, ketika menjalani latihan amali, bapanya sanggup mengambil cuti selama 14 minggu untuk menghantar Salim ke Biro Bantuan Guaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Bukan setakat itu, ayah pernah juga berjalan beberapa kilometer (km) ketika Ramadan sambil menolak kerusi roda saya bagi membolehkan saya menjalani peperiksaan dan semasa latihan dalam kamar,” tambahnya lagi.
Bagi Salim, perkongsian itu bukanlah untuk menunjuk hebat atau meraih simpati, sebaliknya sebagai peringatan kepada dirinya sendiri supaya tidak lupa dari mana dia bermula dan apa yang sudah dilakukan ibu bapanya selama ini.
“Sebagai anak, saya tak mungkin dapat membalas jasa ayah dan emak sampai bila-bila tapi akan cuba penuh impian mereka selagi hayat dikandung badan.
“Kalau boleh, nak habiskan masa bersama emak dan ayah kerana semakin meningkat umur, waktu dengan orang tua lebih penting daripada yang lain,” katanya.
Baca juga: 55 Pelajar Tahfiz Tawan Tiga Puncak Gunung Stong Dalam 11 Jam, Siap Berjaya Khatam Al-Quran!
Menyentuh soal kerjaya pula, Salim mengakui dia tidak pernah bercita-cita menjadi peguam.
Namun apabila diberi peluang menyambung pengajian dalam bidang itu, dia berusaha sehabis baik kerana tidak mahu menghampakan emak dan ayah yang sentiasa memberi sokongan penuh.
Walaupun kini sudah bergelar peguam, Salim mengakui cabaran seperti stigma, diskriminasi dan pandangan rendah terhadap golongan OKU masih wujud.
Namun kisahnya membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar tentang kebolehan diri, tetapi juga tentang doa, kekuatan dan pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus.
Hakikatnya, bukan semua ayah pandai meluahkan rasa sayang. Ada yang tak pandai memuji, tak biasa memeluk, malah jarang mengungkapkan kata-kata manis.
Tapi ada ayah yang sanggup menolak kerusi roda anak berkilometer jauhnya, mengambil cuti berminggu-minggu dan datang bila-bila masa diperlukan.
Dan mungkin, itulah bentuk cinta paling besar yang hanya difahami apabila kita sendiri sudah dewasa.
Sumber: Threads @salimharmanain / Harian Metro
