Nampaknya, ramai dalam kalangan warganet sebak dan mengalirkan air mata apabila tular satu rakaman video memaparkan seorang penghantar makanan atau penunggang p-hailing membawa bersama bayinya ketika keluar mencari rezeki pada awal pagi.
Kisah ini ternyata menjadi peringatan buat diri sendiri agar lebih menghargai dan bersyukur dengan nikmat yang ada…
Baca juga: Tiada Surau, Rita Rudaini & Anak-Anak Solat Subuh Tepi Mesin ATM Di R&R Luar Negara..Netizen Puji
NETIZEN MENGALIR AIR MATA, VIDEO PENGHANTAR MAKANAN CARI REZEKI SAMBIL BAWA BAYI TULAR

Rakaman ringkas itu cukup menyentuh hati. Jelas terpancar pengorbanan seorang bapa yang terpaksa membawa anak kecil bersamanya demi memastikan kelangsungan hidup keluarga, walaupun berdepan kekangan kewangan dan cuaca pagi yang tidak menentu.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, scha.sham, yang merakam detik abang rider berkenaan berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat. Lebih meruntun perasaan apabila kelihatan bayi kecil itu berada di hadapan, dengan kaki comelnya jelas kelihatan.
“Wehhh abang ini buat G**b bawak baby ke? Pagi-pagi dah ‘banjir’ tengok kaki comel itu. Semoga ALLAH mudahkan segala urusan abang dan dimurahkan rezeki abang,” tulisnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sebak, simpati dan mendoakan agar urusan lelaki berkenaan dipermudahkan.
Seorang pengguna Threads, aminsmart02, yang mendakwa mengenali penunggang motosikal itu, tampil menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi lelaki berkenaan.
“Dia jiran lama saya dan kami masih berhubung. Buat masa sekarang dia memang terpaksa bawa anak sebab faktor kewangan. Isterinya bekerja mengikut syif, jadi dia yang menjaga anak sambil bekerja sebagai rider sepenuh masa,” jelasnya.
“INILAH REAL PAPA ZOLA”

Sementara itu, seorang lagi pengguna, apithafizzz, menyifatkan lelaki tersebut sebagai gambaran sebenar watak animasi Papa Zola, simbol seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga.
“The real Papa Zola,” tulisnya ringkas.
Namun dalam rasa sebak dan kagum, ada juga warganet yang meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keselesaan bayi tersebut. Mereka berharap agar penyelesaian lebih selamat dapat diusahakan demi kebajikan si kecil itu.
“Sungguh kasihan, bayi itu masih kecil tetapi terpaksa dibawa merata dalam cuaca sejuk. Kalau dia menangis atau perlukan susu, bagaimana?
“Tolonglah usahakan supaya bayi itu dijaga dengan lebih selamat. Walaupun kedua-dua ibu bapa bekerja, anak kecil perlukan perlindungan,” kata netizen.
Kisah ini meraih perhatian ramai kerana ia menggambarkan realiti hidup segelintir masyarakat yang berjuang tanpa mengenal penat. Lebih daripada sekadar tular, ia menjadi simbol pengorbanan seorang ayah, serta peringatan tentang nilai kasih sayang, tanggungjawab dan erti sebenar sebuah perjuangan hidup.
*Terima kasih diucapkan sekiranya ada dalam kalangan anda yang mencari abang ini untuk menghulurkan bantuan.
Sumber: Threads @scha.sham
