Euforia Bola 2026
Famili

Sanggup Jual Motosikal Demi Rawatan Anak Leukimia, Pengorbanan Ini Buat Ramai Sebak…

penyakit leukimia

Melihat anak kecil bertarung dengan penyakit serius bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditanggung oleh mana-mana ibu bapa. Itulah realiti yang sedang dihadapi pasangan suami isteri apabila anak mereka, Iffat Qaleef yang baru berusia empat tahun, disahkan menghidap penyakit leukimia sejak Julai tahun lalu.

Baca juga: 10 Trik Boleh Guna Bila Anak Sakit, Lebih Cepat Sembuh Bila Guna Bahan Semula Jadi Ini…

JUAL MOTOSIKAL DEMI RAWAT ANAK HIDAP PENYAKIT LEUKIMIA

penyakit leukimia

Foto: Harian Metro

Segalanya bermula apabila Iffat Qaleef kerap mengalami demam berpanjangan. Pada awalnya, ibu bapanya menyangka ia hanyalah sakit biasa. Namun keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila anak mereka itu tiba-tiba tidak mampu berjalan akibat kesakitan di bahagian kaki.

Mereka cuba mendapatkan rawatan alternatif, namun hanya bertahan sehari sebelum simptom kembali menyerang. Keadaan Iffat semakin teruk apabila wajahnya menjadi pucat dan perutnya membesar hingga jelas kelihatan urat.

Bimbang dengan keadaan itu, ibu bapanya membawa Iffat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Keputusan ujian darah yang tidak normal mendorong doktor merujuknya ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjalani ujian sum-sum tulang.

Keputusan yang diterima amat mengejutkan apabila Iffat disahkan menghidap leukimia dalam kategori standard berisiko. Sejak itu, dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi secara intensif.

Lebih 50 Kali Kimoterapi, Jual Motosikal Demi Kos Rawatan

penyakit leukimia

Foto: Tiktok @nurqamarina18_

Rawatan pertama memerlukan Iffat menjalani kimoterapi setiap tiga jam selama tujuh hari. Selepas itu, dia dibenarkan pulang seketika sebelum kembali untuk rawatan seterusnya.

Namun, perjalanan rawatan tidak mudah. Kimoterapi kedua terpaksa ditangguhkan apabila hatinya mengalami kecederaan, menyebabkan mata dan wajahnya bertukar kekuningan. Walaupun rawatan ketiga berjalan lancar, dia kembali demam selepas hanya dua hari di rumah.

Pelbagai cabaran lain turut dihadapi termasuk jangkitan kuman dan keperluan memasang alat khas di dada untuk memasukkan ubat.

Kos rawatan yang tinggi memaksa keluarga ini membuat pengorbanan besar. Bapa Iffat yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerja demi menjaga anaknya.

Kini, dia hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan yang tidak menentu. Dalam keadaan terdesak, dia terpaksa menjual motosikal kesayangannya demi menampung kos rawatan anak.

Walaupun telah menjalani puluhan rawatan, pemeriksaan mendapati masih terdapat sel kanser dalam badan Iffat. Harapan kini terletak pada kemungkinan pemindahan sum-sum tulang.

Hasil ujian menunjukkan kakaknya, Nur Qalaisha Imani berusia 8 tahun merupakan penderma yang 100% sepadan. Sekiranya diperlukan, prosedur itu dijangka dilakukan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Namun, doktor memaklumkan bahawa pemindahan sum-sum tulang bukan jaminan penyembuhan sepenuhnya.

Dalam menghadapi ujian berat ini, keluarga kecil ini amat mengharapkan sokongan dan doa orang ramai. Semoga ada sinar harapan buat Iffat Qaleef untuk kembali sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Kisah ini juga menjadi peringatan bahawa kasih sayang ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi anak tersayang.

Baca juga: Bayi Maut Dipercayai Lemas Dalam Selimut, “Kami Tak Salahkan Pengasuh, Ia Mungkin Jadi Asbab & Kami Redha.”

Sumber: Harian Metro dan Tiktok @nurqamarina18_

FT Images: Harian Metro dan Tiktok @nurqamarina18_

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×