Tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberikan pencen PERKESO sepanjang hayat kepada Nor Nadia Abdul Majid yang kematian suaminya akibat dirempuh pemandu mabuk pada 29 Mac lalu, telah membantu mengurangkan kegusaran Nadia sebelum ini.
Menurut ibu kepada tiga anak ini, jaminan bayaran bulanan kini membolehkan dia menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anak dan kehidupan keluarga tanpa rasa bimbang.
ISTERI MANGSA PEMANDU MABUK TERIMA PENCEN PERKESO SEPANJANG HAYAT

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Mohammed Azman Aziz Mohammed menyampaikan faedah pencen kepada Nor Nadia Abdul Majid.
“Alhamdulillah, saya rasa sedikit lega dan bersyukur. Saya rasa suami betul-betul bertanggungjawab fikirkan keluarga…semua dia sediakan.
“Tadi saya tengok amaun (pencen), Alhamdulillah saya rasa bolehlah bernafas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah itu di kediamannya.
Pencen PERKESO pastikan masa depan anak-anak terbela
Nadia menekankan kepentingan mencarum dengan PERKESO dan menggesa majikan tidak culas mendaftarkan pekerja mereka bagi melindungi masa depan keluarga.
Dalam pada itu, Nadia memaklumkan bercadang pulang ke kampung di Batu Kurau, Perak, selepas tamat tempoh edah dan mencari pekerjaan yang tidak mengabaikan perhatian terhadap anak-anak.
Terdahulu, PERKESO mengesahkan waris kepada arwah Amirul Hafiz Omar, 33, akan menerima bayaran bulanan berjumlah RM2,888.17 sepanjang hayat bagi isteri, manakala anak-anak akan menerima manfaat tersebut sehingga berusia 21 tahun.

Gambar kenangan Allahyarham Amirul Hafiz dan keluarganya menyambut Aidilfitri baru-baru ini.
Majikan patuh, pencen penuh dapat disediakan
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Mohammed Azman Aziz Mohammed, menjelaskan kepatuhan majikan arwah, TVH Malaysia, dalam mencarum selama 15 tahun menjadi faktor utama waris layak menerima pencen penuh.
“Arwah merupakan seorang pekerja yang setia dan majikannya sangat bertanggungjawab.
“Carumannya penuh tanpa sebarang kekurangan, sebab itu kita dapat sediakan bayaran pencen penuh kepada waris bagi memastikan masa depan keluarga ini terbela,” katanya.
Selain pencen bulanan, PERKESO turut menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000 serta jaminan bantuan pinjaman pendidikan kepada anak arwah apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kelak.
Sumber: FMT
FT Image: FMT / Sinar Harian
