Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) menjadi perhatian ramai selepas tindakannya membantu mangsa kemalangan jatuh gaung dalam keadaan hujan tular di media sosial.
Kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang itu memperlihatkan keberanian luar biasa seorang petugas kesihatan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi membantu orang awam.
PPK WANITA NEKAD BANTU MANGSA KEMALANGAN JATUH GAUNG

Foto: Tiktok @zulmizilinda
Wanita dikenali sebagai Haslinda Mansor itu difahamkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terserempak dengan insiden sebuah kenderaan yang dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung berhampiran longkang besar.
Tanpa berlengah, beliau terus bertindak menghulurkan bantuan walaupun keadaan ketika itu amat berisiko.
Menurut Haslinda, keadaan mangsa ketika itu agak mencemaskan apabila kenderaan tersebut tersangkut pada dahan pokok dan pintu tidak dapat dibuka.
Tambahan pula, bunyi arus air yang kuat dari longkang di bawah kenderaan menambahkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan mangsa.
“Alhamdulillah saya sempat bercakap dengan mangsa. Dia tidak cedera teruk, cuma terhantuk sedikit. Keadaan hujan menyebabkan saya tidak dapat mendekati dengan lebih dekat kerana permukaan yang dipijak hanyalah lalang dan dahan,” jelasnya.
Walaupun berdepan situasi sukar, Haslinda tetap tenang dan sempat meminta orang awam yang berada di lokasi untuk terus memantau keadaan mangsa sehingga pasukan penyelamat seperti bomba atau ambulans tiba.
Jiwa Seorang Frontliner Menyelamatkan Mangsa Kemalangan

Foto: Tiktok @zulmizilinda
Ketika ditanya mengenai keberaniannya, Haslinda merendah diri dan menyatakan bahawa tindakannya itu lahir daripada rasa tanggungjawab sebagai seorang petugas kesihatan.
Baginya, membantu orang dalam kesusahan bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada tugas dan naluri dirinya.
Tindakan Tersebut Raih Pujian Warganet
Video yang memaparkan detik cemas tersebut dimuat naik di TikTok dan berjaya meraih lebih dua juta tontonan dalam tempoh 24 jam.
Rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dan terharu dengan tindakan pantas serta keberanian yang ditunjukkan oleh Haslinda.
Sebahagian netizen menyifatkan tindakan Haslinda sebagai bukti jelas dedikasi seorang petugas barisan hadapan yang mempunyai rasa tanggungjawab tinggi.
“Kakak tu front liner, jururawat… jadi dia ada rasa tanggungjawab yang tinggi. Sebab tu dia sanggup redah untuk membantu. Orang macam ni yang kita patut puji, sanjung, junjung dan tatang. Semoga semangat yang ditunjukkan akan menjadi ikutan buat rakyat Malaysia. Tahniah kak!”
Ada juga yang menzahirkan rasa hormat terhadap semua warga kesihatan tanpa mengira pangkat atau jawatan.
“Nurse ke bukan nurse ke, bagi aku aku respect semua warga KKM. Siapalah kita sewaktu kita dalam kesusahan tentang kesihatan. Mereka yang uruskan segala keperluan kita ketika terlantar, dari bayi hingga ke hujung usia. Mereka terlatih dan saling melengkapi untuk membantu kita kembali sihat.”
Tidak kurang juga yang melihat tindakan tersebut sebagai cerminan jiwa kemanusiaan yang tulus.
“Bukan sebab dia perempuan, tapi sebab jiwa merawat dia besar. Sebab itu dia turun tengok keadaan mangsa macam mana. Terbaik akak nurse, semoga diberikan kesihatan yang baik.”
Kisah ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa nilai empati, keberanian dan keikhlasan masih utuh dalam masyarakat.
Tindakan Haslinda bukan sahaja menyelamatkan mangsa, malah menjadi contoh terbaik tentang bagaimana setiap individu mampu memainkan peranan dalam membantu sesama insan tanpa mengira waktu dan keadaan.
Sumber: Tiktok @zulmizilinda
FT Images: Tiktok @zulmizilinda
