Euforia Bola 2026
Suami Isteri

“Ujian Nikmat Allah”- Pernah Terima Nafkah RM1, Kisah Susah Senang Ozlynn Waty Bersama Johan Buka Mata Ramai

ozlynn waty

Perjalanan hidup Ozlynn Waty, yang berkongsi pengalaman pernah melalui fasa kesempitan bersama suaminya, penyampai radio Johan, telah membuka mata ramai.

Di mana, dalam sesebuah rumah tangga, bukan semua pasangan terus hidup senang sejak awal perkahwinan. Ada yang perlu melalui pelbagai ujian kewangan dan emosi sebelum mengecapi kebahagiaan.

Baca juga: “Selama Ini B Jadi Mata Sayang, Lepas Ini Kaki” – Kakak Luah Terharu, Adiknya Miliki Suami Sifat Wafa’ Yang Tiada Tandingannya

OZLYNN WATY TERIMA NAFKAH RM1 DENGAN SENYUMAN

ozlynn waty

Gambar Instagram @jozlynnhanania

Menurut Ozlynn Waty atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, ada waktu mereka pernah hidup serba kekurangan sehingga ada hari yang terpaksa dilalui tanpa makanan mencukupi.

Namun, dia tidak pernah menjadikan kesusahan itu sebagai alasan untuk merungut atau mempersoalkan kemampuan suaminya.

Ozlynn mendedahkan satu momen yang sangat menyentuh hati apabila dia pernah menerima nafkah daripada Johan hanya sebanyak RM1. Walaupun jumlah itu kecil, dia memilih untuk menerima dengan hati terbuka kerana memahami situasi suaminya ketika itu.

“Hidup dengan suami aku dulu kais pagi, malam kadang tak ada apa nak makan. Tapi sebab kerja aku bagus, dapat tolong suami. Sampai pernah dia bagi nafkah dekat aku RM1 saja.

“Aku ambil duit itu dan cakap, ‘Saya terima’ sambil senyum,” kongsinya.

Bagi Ozlynn, perkara paling penting bukanlah jumlah wang yang diterima, tetapi usaha dan tanggungjawab suami yang tetap berusaha walaupun dalam keadaan sukar. Sikap memahami inilah yang membantu mereka bertahan melalui cabaran hidup bersama.

Baca juga: Terjerat Cinta Duda! Wanita Menyesal Kahwin Tanpa Siasat Latar Belakang, Ini Amaran Penting Peguam Syarie

Menangis dalam bilik air, bukan kerana jumlah nafkah

Dalam pada itu, Ozlynn turut mengimbau detik emosional apabila suaminya memintanya mendoakan agar urusan mencari rezeki dipermudahkan. Ketika itu, dia tidak mampu menahan sebak melihat kesungguhan suami.

“Dia suruh aku tolong doakan semoga Allah bantu dia. Aku terus masuk bilik air. Aku menangis sampai sakit tekak.

“Bukan sebab jumlah nafkah, tapi cara dia rendahkan maruah depan aku.

“Aku nampak usaha dia cari rezeki. Maka aku doa minta Allah bantu. Alhamdulillah sekarang dia senang dan tak pernah lupakan aku,” ujarnya lagi.

ozlynn waty

Gambar perkongsian Ozlynn Waty di Threads.

Kunci rumah tangga Ozlynn Waty

Menurut Ozlynn, antara perkara yang paling penting dalam menghadapi ujian rumah tangga adalah doa yang tidak putus-putus. Dia percaya setiap kesusahan adalah ujian yang datang bersama hikmah, dan kesabaran akan membawa kepada rezeki yang lebih baik.

Katanya, dia sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk menerima ujian dengan hati yang reda.

“Tips saya dari dulu tak pernah putus doa pada Allah minta Allah kuatkan hati saya, bantu saya supaya dapat sabar dengan ujian Allah.

“Sebab ujian juga adalah satu nikmat dari Allah,” katanya.

Untuk rekod, Ozlynn mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 25 Julai 2009 dan kini mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.

Perjalanan hidup mereka dari susah ke senang menjadi inspirasi kepada ramai tentang pentingnya menyokong pasangan ketika diuji, terutama apabila suami sedang berusaha keras untuk memperbaiki keadaan kewangan keluarga.

Baca juga: Fenomena Suami Pucuk Muda, Ini 5 Faktor Buat Lelaki Muda Jatuh Hati Pada Wanita Berusia & Janda

Sumber: Threads

FT Image: Instagram @jozlynnhanania (1) (2)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×