Euforia Bola 2026
Nur

Opps! Termimpi Basah Di Siang Hari Dalam Bulan Ramadan, Boleh Batalkan Puasa Tak?

mimpi basah

Sebut sahaja mengenai mimpi basah, ini merupakan antara momen yang ‘memalukan’ dan jarang dikongsi oleh orang lelaki kerana secara tidak sedar mengalami ejakulasi semasa tidur. Tambah pula dalam bulan Ramadan, pasti ramai yang tertanya adakah mimpi basah yang dialami pada waktu siang membatalkan ibadah puasa?

Al-maklumlah, semua ini berlaku tanpa disedari jadi adakah ia termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa? Mari baca penjelasan dari Maktabah AlBakri.

Baca juga: Hukum Pakai Lipstik Semasa Puasa, Akan Terbatal Puasa Kalau Anda Buat Macam INI..

MIMPI BASAH PADA WAKTU SIANG DALAM BULAN RAMADAN, BOLEH BATAL PUASA KE?

mimpi basah

Foto hiasan.

Pada asasnya, sekiranya seseorang itu keluar air maninya disebabkan oleh mimpi basah yang dialaminya pada siang Ramadan, maka perkara itu tidak membatalkan puasanya kerana air mani itu keluar di luar daripada kawalannya dan dia tidak mampu untuk mencegahnya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Ibn Qudamah menyatakan, kalaulah seseorang itu bermimpi basah sehingga keluar air maninya maka puasanya tidak terbatal kerana perkara tersebut adalah diluar daripada pilihannya. Ia menyerupai sebagaimana jika termasuk ke dalam halkum seseorang itu sesuatu, sedangkan dia tengah tidur.

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti :

– Berciuman
– Beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).
– Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa.
– Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah.

TAK SENGAJA…

mimpi basah

Foto: Freepik

Demikianlah juga hukumnya bagi sesiapa yang bermimpi pada siang hari Ramadan (lalu keluar air maninya), maka puasanya tidak terbatal secara ijmak ulama kerana perkara itu berada di luar kawalannya.

Tambahan lagi, Lajnah Da’imah pernah dinyata berkenaan seseorang yang bermimpi basah pada siang Ramadan, maka apakah hukum puasanya? Mereka menjawab, sesiapa yang bermimpi basah sedangkan dia berpuasa atau dalam keadaan berihram, maka tidak ada dosa baginya mahupun kafarah. Puasanya juga tidak terjejas disebabkan oleh perkara tersebut, yakni masih lagi tetap sah. Namun, diwajibkan ke atasnya untuk mandi junub sekiranya keluar air mani disebabkan oleh mimpi basah itu.

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ

Maksudnya: “Tidak terbatal puasa sesiapa yang muntah (dengan tidak sengaja), tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam”

Kesimpulannya, puasa seseorang yang mengalami mimpi basah pada siang Ramadan sehingga keluar air maninya adalah tetap sah kerana perkara tersebut adalah di luar daripada pilihan dan kawalannya. Justeru, ia termasuk dalam situasi keluar air mani secara tidak sengaja. Walau bagaimanapun, dia diwajibkan untuk mandi junub disebabkan oleh keluarnya air mani itu.

Baca lagi: Cara Tukar Duit Raya Di Mesin ATM, Tak Sampai 10 Minit Dah Dapat Duit Baru!

Sumber: Maktabah Al-Bakri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×