Akhirnya, kaum lelaki mungkin berpeluang untuk ‘merehatkan’ sperma mereka tanpa melibatkan hormon atau prosedur kekal seperti vasektomi. Satu jenis pil perancang kehamilan untuk lelaki yang pertama seumpamanya telah melepasi ujian keselamatan manusia yang pertama!
Ini mencetuskan harapan bahawa kaedah kontraseptif ini bakal menjadi realiti menjelang hujung dekad ini.
Baca juga: “Rupanya Aku Autistik”- Wanita Kongsi Perjalanan Disahkan Autism Dewasa Yang Tak Nampak Pada Luaran
PIL PERANCANG KEHAMILAN UNTUK LELAKI DAH SIAP MELEPASI ‘TEST’ SELAMAT?

Foto: freepik
Berbeza dengan pil perancang wanita yang menjejaskan hormon, pil yang dikenali dengan nama YCT-529 merupakan ubat eksperimen dari syarikat YourChoice Therapeutics. Pil ini direka untuk menghentikan sementara pengeluaran sperma tanpa mengganggu paras testosteron.
Pil ini bertindak dengan menyekat protein yang dikenali sebagai retinoic acid receptor alpha, komponen penting dalam proses penghasilan sperma. Dan bahagian paling menarik? Ia boleh dipulihkan sepenuhnya selepas rawatan dihentikan.
Dalam ujian ke atas tikus jantan, pengambilan YCT-529 mengurangkan penghasilan sperma dengan ketara, menyebabkan ketidaksuburan yang boleh dipulihkan hanya dalam masa empat minggu. Apabila tikus jantan yang dirawat mengawan dengan betina, kadar keberkesanan untuk mencegah kehamilan mencecah 99%.
Adakah Ia Selamat Untuk Manusia?

Foto: freepik
Setakat ini, semuanya positif. Ujian klinikal manusia pertama melibatkan 16 lelaki sihat berusia antara 32 hingga 59 tahun, kesemuanya telah menjalani prosedur vasektomi sebelum ini.
Menurut Nadja Mannowetz, pengasas bersama dan ketua pegawai sains YourChoice Therapeutics,
“Langkah berjaga-jaga ini penting kerana tiada kontraseptif lelaki tanpa hormon pernah diuji ke atas manusia sebelum ini. Para penyelidik mahu mengelakkan sebarang risiko menjejaskan kesuburan secara kekal, terutama jika peserta ingin menimang cahaya mata di masa hadapan,” katanya.
Ujian ini bukan bertujuan untuk mengukur keberkesanan mencegah kehamilan, sebaliknya untuk menilai keselamatan dan bagaimana ubat ini diserap dan bertindak dalam tubuh.
Jadi, jika semuanya berjalan lancar, dunia mungkin akan menyaksikan era baharu dalam perancang keluarga menjelang hujung dekad ini serta harapan baharu buat kaum lelaki pula. Setuju?
Baca juga: Susah Dapat Anak Bukan Semua Salah Wanita! Ini 9 Sperma TAK NORMAL Jadi Punca Lelaki Mandul!
Sumber: New York Post
