Seorang remaja lelaki dikenali sebagai Hamza, berusia 13 tahun meninggal dunia selepas makan mi segera mentah jenama popular di Indonesia sebanyak 3 paket.
Menurut siasatan awal, Hamza memakan mi tersebut sejurus pulang daripada kelas hafazan al-Quran dan solat Maghrib. Si bapa memberitahu bahawa anak lelakinya mula muntah, berpeluh dan mengalami sakit perut yang teruk 30 minit selepas makan mi segera mentah itu.
Baca juga: Kanak- Kanak Lelaki Hilang Sejak 24 Ogos, Ditemui Selamat Di Tepi Tebing Sungai
REMAJA 13 TAHUN MAUT MAKAN MI SEGERA MENTAH

Hamza segera dibawa ke hospital, di mana doktor mengesyaki keracunan dan mengarahkan agar dia dipindahkan ke pusat toksikologi. Malangnya, dia disahkan meninggal dunia dalam perjalanan pada hari Sabtu, 16 Ogos.
Media melaporkan bahawa Hamza rebah di rumah keluarganya di daerah El-Marg, Kaherah, tanpa sebarang tanda kecederaan fizikal pada tubuhnya. Walaupun terdapat laporan awal mengatakan dia meninggal dunia di rumah, bapanya menegaskan bahawa anaknya menghembuskan nafas terakhir di dalam ambulans selepas usaha menyelamat gagal.
Ujian perubatan mengesahkan tiada sebarang bahan dadah atau unsur haram dalam sistem badannya. Pihak pendakwa raya Mesir kini telah mengarahkan penahanan pemilik kedai yang menjual mi tersebut serta melancarkan siasatan rasmi terhadap produk berkenaan.
Sampel mi juga telah diambil untuk dianalisis dan bedah siasat dijalankan ke atas tubuh Hamza bagi menentukan punca sebenar kematian.
Insiden tragis ini telah mencetuskan perdebatan hangat mengenai keselamatan mi segera, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ada pengguna media sosial yang menyeru agar produk mi segera ini diboikot, manakala ada juga yang mempertahankannya sebagai selamat jika dimasak mengikut arahan.
Mi segera sememangnya sangat popular dalam kalangan golongan muda Mesir kerana harganya yang murah dan penyediaannya yang cepat. Namun, pakar pemakanan tempatan sejak sekian lama telah memberi amaran tentang risiko kesihatan akibat pengambilan berlebihan, termasuk masalah gastrousus, reaksi alahan serta komplikasi pada hati dan buah pinggang.
Bapa Hamza menyeru agar keselamatan produk mi segera dikaji semula selepas apa yang berlaku terhadap anak lelakinya.
“Apa yang berlaku kepada anak saya adalah satu tragedi. Ia sepatutnya menjadi amaran kepada semua keluarga agar lebih berhati-hati,” katanya.
Baca juga: Kanak-Kanak Autisme Hilang Selepas Keluar Dari Rumah, Jumpa Selipar Di Kawasan Anak Sungai
Sumber: Ynet News
