Setiap Ahad pagi, di tengah kesibukan kota metropolitan Shanghai, satu pemandangan unik dan jarang ditemui menarik perhatian pengunjung, terutamanya dari luar negara. Di sebuah taman awam yang terkenal, ratusan ibu bapa berkumpul bukan untuk bersenam atau beriadah tetapi untuk mencari jodoh buat anak-anak mereka.
Fenomena ini dikenali sebagai Shanghai Marriage Market, atau lebih dikenali sebagai “Pasar Kahwin”, yang berlangsung hampir setiap minggu tanpa gagal.
Baca penuh: 7 Aplikasi ‘Dating’ Yang Popular & Percuma Di Malaysia, Yang Solo Boleh Mulakan Langkah Sekarang!
Apa Itu Shanghai Marriage Market Yang Jadi ‘Port’ Mencari Jodoh?

Foto: nishiv.com
Shanghai Marriage Market bukanlah pasar dalam erti kata sebenar. Tiada jual beli, tiada tawar-menawar secara langsung, dan tiada pasangan muda yang hadir untuk berkenalan.
Sebaliknya, yang memenuhi kawasan taman ialah ibu bapa, kebanyakannya sudah berusia, membawa kertas maklumat yang memaparkan profil anak masing-masing lengkap dengan:
- Umur
- Ketinggian
- Tahap pendidikan
- Pekerjaan
- Pendapatan bulanan
- Status pemilikan rumah
- Ada yang menyertakan maklumat zodiak
Kertas-kertas ini digantung pada payung, papan, atau hanya diletakkan di atas tanah, seolah-olah ‘resume perkahwinan’. Menariknya, kebanyakan anak-anak langsung tidak hadir ke Marriage Market ini. Malah, ada yang tidak tahu ibu bapa mereka datang, ada juga yang tahu tetapi tidak bersetuju.
Namun bagi ibu bapa, langkah ini dibuat atas satu alasan utama iaitu takut anak terlewat kahwin.
Dalam budaya masyarakat China, tekanan untuk berkahwin sebelum usia tertentu masih sangat kuat, terutama di bandar besar seperti Shanghai. Golongan wanita berusia lewat 20-an ke atas sering dilabel sebagai ‘sheng nu’ atau ‘wanita tertinggal’, manakala lelaki pula ditekan untuk stabil dari segi kewangan sebelum berkahwin.
‘Matching’ Secara Tradisional di Kota Moden

Foto: nishiv.com
Walaupun Shanghai dikenali sebagai bandar moden dengan teknologi canggih dan aplikasi temu janji yang pelbagai, Marriage Market ini masih bertahan sehingga hari ini.
Di sinilah ibu bapa akan berbual, bertanya latar belakang, membandingkan kriteria dan kadangkala bertukar nombor telefon — semuanya dilakukan bagi pihak anak masing-masing. Jika dirasakan sesuai, barulah anak-anak akan dimaklumkan dan diperkenalkan secara rasmi.
Fenomena ini bukan sahaja menarik minat penduduk tempatan, malah menjadi tarikan pelancong. Ramai yang datang sekadar melihat, mengambil gambar dan memahami realiti tekanan sosial yang wujud di sebalik kehidupan moden masyarakat China.
Bagi pelawat dari luar negara, Shanghai Marriage Market sering dianggap pelik, namun bagi ibu bapa di sini, ia adalah usaha terakhir yang lahir daripada kasih sayang dan kebimbangan terhadap masa depan anak-anak.
Di sebalik suasana yang kelihatan tenang dan teratur, Marriage Market ini sebenarnya mencerminkan tekanan ekonomi, persaingan hidup dan norma sosial yang masih kuat berakar.
Ia juga menggambarkan satu perkara universal iaitu kasih ibu bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi melihat anak mereka berbahagia, walaupun dengan cara yang mungkin tidak difahami oleh generasi muda.
Jika anda berpeluang ke Shanghai, cuba luangkan masa setiap Ahad pagi untuk melihat sendiri fenomena ini. Bukan sekadar unik, tetapi membuka mata tentang bagaimana cinta, perkahwinan dan harapan dilihat dari sudut budaya yang berbeza.
Baca juga: Jodoh Dah Jumpa Tapi Bakal Mentua ‘REJECT’ Sebab Anda Kerja Dalam 7 Bidang Ini, Pedihnya Hati!
Sumber: Nishiv, China Highlights
