Trend penggunaan ejaan nama Mikayla semakin popular dalam kalangan ibu bapa masa kini. Namun, di sebalik bunyi yang sedap dan moden, ramai sebenarnya masih keliru tentang maksud sebenar nama ini.
Baru-baru ini, perkongsian daripada Dzulkhairi Khairi menarik perhatian ramai apabila beliau mengulas tentang penggunaan ejaan nama Mikayla yang kini semakin popular dalam kalangan ibu bapa di Malaysia.
EJAAN NAMA MIKAYLA, ADA MAKSUD NEGATIF RUPANYA

Freepik
Menurut beliau, semakin ramai ibu bapa memilih nama Mikayla, malah ada yang mengubah ejaan kepada Miqayla. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah ramai sebenarnya tidak mengetahui maksud sebenar nama tersebut.
Kebanyakan ibu bapa hanya bergantung kepada carian Google yang tidak semestinya tepat atau mempunyai rujukan sahih. Ada juga yang menyatakan bahawa Mikayla membawa maksud “pemberian Allah”, tetapi hakikatnya definisi tersebut tidak disokong oleh sumber yang jelas.
Dzulkhairi turut menasihatkan agar ibu bapa berhati-hati dalam memilih nama, lebih-lebih lagi jika ia tidak difahami maksudnya.
Katanya, nama seperti Mikayla mempunyai kaitan rapat dengan nama Michael yang berasal daripada tradisi Barat serta berkait dengan kepercayaan agama lain.
Beliau turut mengingatkan supaya mengelakkan nama yang jelas membawa unsur keagamaan luar seperti Yahudi dan Kristian, terutamanya jika ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi akidah.
Selain itu, ada juga yang beranggapan Mikayla adalah merujuk kepada nama malaikat Mikail. Namun, beliau mempersoalkan sama ada wujud bacaan atau sandaran yang tepat menggunakan sebutan Mikayla. Dalam qiraat, yang paling hampir hanyalah Mikayil (مِيكَايِيل), bukan Mikayla.
Malah, jika benar ia berkait dengan nama malaikat, timbul pula persoalan sama ada sesuai digunakan sebagai nama anak perempuan.
Lebih membimbangkan, dalam kepercayaan ahli kitab, nama Michael dikaitkan dengan maksud “yang seumpama Allah”, satu tafsiran yang jelas melampau dan tidak sesuai untuk dijadikan sandaran.

Nasihat kepada ibu bapa untuk pilih nama
Sebagai kesimpulan, Dzulkhairi berkongsi dua panduan penting dalam memilih nama anak:
1. Pilih nama yang mencerminkan identiti Muslim
Sama ada daripada bahasa Arab, Melayu atau bahasa lain seperti Urdu dan Parsi, asalkan tidak berkait dengan kepercayaan agama lain.
2. Pastikan maksud nama jelas dan sahih
Jangan sekadar bergantung kepada Google. Sebaiknya rujuk kepada mereka yang berilmu agar tidak tersilap memilih nama.
Memilih nama anak adalah satu amanah besar. Bukan sekadar cantik di bibir, tetapi biarlah membawa makna yang baik dan jelas untuk masa depan mereka.
Baca juga: KPM Tawar Tempat Automatik Di Matrikulasi Untuk Semua Calon SPM 10A Ke Atas, Tahniah!
Sumber: Facebook Dzulkhairi Khairi
