Dalam isu talak 3, ramai pasangan tidak menyedari betapa besarnya kesan satu lafaz yang diucapkan dalam keadaan marah. Kisah benar di mahkamah yang tular di Threads ini wajar dijadikan pengajaran buat suami isteri di luar sana, bahawa emosi sesaat boleh memusnahkan rumah tangga yang dibina bertahun-tahun.
Segalanya bermula apabila seorang suami datang ke mahkamah untuk merujuk kembali isterinya, setelah dia melafazkan talak tiga di rumah. Dia mendakwa tidak berniat dan tidak sengaja melafazkan cerai tersebut.
SUAMI LAFAZ TALAK 3 SEBAB ISTERI TAK MASAK
Namun apabila hakim meneliti kronologi, alasan sebenar suami itu menceraikan isterinya amat mengejutkan.
Pada hari kejadian, si isteri tidak sempat memasak kerana terlalu penat. Walaupun setiap hari sebelumnya dia menjalankan tanggungjawab memasak, mengurus rumahtangga dan menjaga anak, hari itu dia tertidur kerana keletihan.
Bagi suami, itu sudah cukup untuk menimbulkan kemarahan sehingga dia melafazkan cerai.
Ketika ditanya keadaan rumah pada hari tersebut, suami mengakui bahawa rumah dalam keadaan bersih, baju sudah dicuci dan dilipat. Hanya satu perkara sahaja yang tidak dibuat iaitu memasak makan malam.
Hakim mempersoalkan keputusan suami yang terlalu drastik. Dek kerana, hanya satu tugas tidak sempat dilakukan, tetapi lafaz cerai pula menjadi jalan penyelesaian. Suami terdiam dan tidak mampu memberi penjelasan yang wajar.
Isteri rupanya kepenatan menjaga anak Autisme
Apabila isteri dipanggil memberi keterangan, barulah segalanya jelas. Mereka mempunyai seorang anak autisme dan isteri menguruskan anak itu sepenuhnya seorang diri. Keletihan fizikal dan mental yang dialaminya menyebabkan dia tertidur pada hari kejadian.
Hakim sempat menegur suami kerana kurang memahami situasi isterinya. Beban penjagaan anak istimewa bukan perkara kecil dan isteri telah berusaha sedaya upaya menjalankan semua tanggungjawab rumah walaupun kepenatan.
Ketika hakim bertanya sama ada lafaz itu dibuat dalam keadaan sedar atau tidak, suami mengakui bahawa dia tahu apa yang diucapkannya. Katanya, walaupun dia sangat marah, dia sedar ayat cerai yang keluar dari mulutnya adalah lafaz sebenar, bukan tergelincir atau tersasul.
Pengakuan ini menjadi elemen penting dalam keputusan mahkamah.
Setelah meneliti semua keterangan, hakim memutuskan bahawa talak yang dilafazkan adalah sah kerana suami melafazkan dalam keadaan sedar dan memahami maksud setiap perkataan.
Ini bermakna suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya. Satu-satunya jalan untuk kembali bersama hanyalah selepas bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain, bersama secara sah, kemudian bercerai dan barulah talak boleh jatuh semula.
Hakikat ini membuatkan suami itu hanya mampu menunduk, menyedari kesilapan yang tidak boleh ditarik balik.
Baca juga: Suami Cabar Doa Isteri, 3 Hari Kemudian Terima Kifarah Ditimpa Kemalangan & Mengaku Ada Buat Salah!

Gambar hiasan: FMT
Kisah ini menjadi cermin untuk setiap pasangan. Lafaz talak bukan perkara kecil atau gurauan, sekali ia terucap dalam keadaan sedar, rumah tangga boleh berakhir sekelip mata. Marah yang hanya beberapa minit boleh meninggalkan kesan bertahun-tahun.
Rumah tangga perlukan tolak ansur dan empati. Jika pasangan tidak sempat menyiapkan sesuatu, ada kemungkinan mereka sedang terlalu penat, terbeban atau sedang melalui hari yang sukar. Terutamanya bagi ibu bapa yang menjaga anak istimewa, tekanan fizikal dan emosi sangat besar.
Perkahwinan bukan tentang mencari kesempurnaan, tetapi tentang memahami dan saling menyokong. Ketika salah seorang lelah, yang seorang lagi sepatutnya menjadi tempat menenangkan, bukan menghukum.
Semoga kisah ini menjadi peringatan agar kita lebih berhati-hati dengan kata-kata, lebih sabar dengan pasangan dan lebih bijak mengurus emosi.
Sumber: Threads @fizz549
FT Image: Cute Kashaf Pinterest / Azurah Ahmad

