Euforia Bola 2026
Famili

“Abah Tak Kisah Kerja Apa Pun..”- Anak Kongsi Ayah Buat Lebih 5 Kerja, Kini Diuji Sakit Kritikal Undang Sebak

pengorbanan abah

Setiap anak pasti menyimpan kisah tentang pengorbanan seorang ayah. Namun, perkongsian oleh Amirul Adam ini benar-benar menyentuh hati apabila beliau menceritakan pengorbanan abah yang tidak pernah pilih kerja demi memastikan anak-anaknya tidak pernah terputus rezeki.

Baca juga: Jangan Tinggalkan Rumah Ibu Bapa ‘Tongkang Pecah’, Ini Adab Anak Sebelum Balik Rumah Sendiri

KISAH SEORANG ABAH TAK PILIH KERJA UNTUK CARI REZEKI RAIH PERHATIAN

pilih kerja

Foto: Tiktok @amiruladam970

Menurut Amirul, perjalanan hidup abahnya menyara keluara bermula dengan pelbagai fasa pekerjaan. Selepas berhenti dari kilang lama, abahnya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Dalam keadaan serba kekurangan itu, abahnya tidak pernah merungut.

Sebaliknya, satu ayat yang sering diulang menjadi pegangan hidup ayahnya,

Abah tak kisah kerja apa, janji anak-anak abah ada duit makan.”

Ayat ini bukan sekadar kata-kata, tetapi sebagai prinsip hidup.

Dalam masa yang sama, abahnya gemar berkongsi gambar dan video ketika bekerja.

Setiap hari ada sahaja yang dikongsikan dari perkara kecil hingga rutin harian.

Dahulu, Amirul pernah berasa hairan dan tertanya-tanya, mengapa abahnya terlalu kerap berkongsi.

Namun, apabila masa berlalu, Amirul mula memahami bahawa setiap gambar itu sebenarnya adalah memori yang tidak ternilai.

Sebelum ini, abahnya pernah bekerja sebagai supervisor di sebuah kilang dan berkhidmat di situ selama berpuluh tahun.

Ketika itu, kesihatan abahnya masih baik, pendapatan juga stabil, dan kehidupan keluarga lebih teratur.

Fasa ini menjadi antara tempoh yang paling selesa dalam hidup mereka.

Rezeki Dalam Dunia Masakan dan Berniaga

Selepas itu, abahnya beralih arah ke bidang lain.

Disebabkan kebolehan memasak yang dimiliki, beliau mencuba nasib sebagai tukang masak.

Bukan sekadar bekerja, abahnya juga berniaga sendiri dengan menjual nasi ayam di pasar malam Pantai Puteri, Melaka.

Tak Pilih Kerja, Bekerja Sebagai Rider Walaupun Usia Meningkat

pilih kerja

Foto: Tiktok @amiruladam970

Perjalanan mencari rezeki tidak terhenti di situ.

Abahnya turut menjadi penghantar barangan dan rider kurier.

Dalam usia yang semakin meningkat, beliau tetap gagah meredah panas dan hujan.

Tidak pernah sekalipun mengeluh tentang kepenatan.

Setiap kali anaknya pulang dari belajar, satu soalan yang pasti ditanya,

Ada duit makan tak?

Soalan yang ringkas, namun cukup berat untuk dijawab.

Bagi seorang anak, ia hadir bersama rasa sebak, malu, dan sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ayah.

Pilih Kerja Kampung, Hantar Parcel, Hingga Angkat Barang

pilih kerja

Foto: Tiktok @amiruladam970

Selain itu, abahnya juga melakukan pelbagai pekerjaan lain.

Antaranya termasuk menghantar parcel menggunakan kereta sendiri, bekerja di kebun dengan mengait kelapa, serta menghantar hasil kebun ke pelbagai tempat.

Kereta Myvi yang dimiliki bukan sekadar kenderaan, tetapi menjadi “teman setia” dalam mencari rezeki.

Pada hujung minggu, Amirul sendiri akan pulang untuk membantu abahnya sama ada menghantar barang atau mengait kelapa.

Abahnya juga pernah bekerja sebagai pembantu logistik di Shah Alam dengan bayaran gaji harian.

Walaupun pendapatan kecil dan tidak menentu, beliau tetap memastikan masa bersama keluarga tidak terabai.

Peluang Dalam Bidang Oil & Gas dan Ujian Dalam Perniagaan

Berdasarkan pengalaman luas sebagai supervisor, abahnya pernah mendapat peluang bekerja dalam bidang oil and gas.

Malah, beliau juga pernah memiliki kedai emas sendiri.

Namun, ketika rezeki sedang baik, abahnya diuji dengan kes penipuan yang memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga.

Ujian Kesihatan Yang Bermula Tanpa Diduga

pilih kerja

Foto: Tiktok @amiruladam970

Tidak lama selepas itu, keadaan kesihatan abahnya mula merosot.

Abahnya mengalami sesak nafas dan bengkak pada kaki serta tangan.

Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa buah pinggangnya telah rosak dan berada pada tahap 4.

Abahnya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Namun, apa yang mengagumkan, abahnya tetap tenang dan kuat.

Pada hari pertama dialisis, beliau masih mampu tersenyum dan mengambil gambar, seolah-olah cuba memberi kekuatan kepada anak-anaknya.

Sejak itu, menjadi rutin harian Amirul untuk menghantar abahnya ke pusat dialisis sebelum ke tempat kerja.

Detik Cemas di Hospital

Ujian semakin berat apabila suatu hari, abahnya mengalami pendarahan serius dari hidung dan mulut tanpa henti.

Darah yang keluar terlalu banyak sehingga memenuhi beberapa helai tuala mandi.

Dalam keadaan lemah, beliau dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke wad kecemasan.

Amirul setia menjaga abahnya selama dua hari tanpa tidur.

Dalam keadaan lemah itu, abahnya bersuara perlahan,

Jangan pergi mana-mana… abah takut.

Kata-kata itu menjadi detik yang paling meruntun hati memperlihatkan sisi rapuh seorang ayah yang selama ini sentiasa kelihatan kuat.

Disahkan Kanser Tahap 4 dan Tidak Boleh Dibedah

pilih kerja

Foto: Tiktok @amiruladam970

Selepas pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan bahawa abahnya menghidap kanser tahap 4.

Keadaan menjadi lebih rumit kerana beliau turut menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap 4 dan masalah jantung yang memerlukan pembedahan bypass.

Namun, disebabkan risiko yang terlalu tinggi, abahnya tidak boleh menjalani sebarang pembedahan.

Rawatan yang ada hanyalah ubat untuk mengurangkan kesakitan dalaman.

Tetap Tersenyum Walau Diuji Tiga Penyakit Kritikal

Walaupun diuji dengan tiga penyakit kronik yang kritikal, abahnya tetap tersenyum dan kuat menghadapi dugaan.

Semangat inilah yang menjadi pembakar semangat buat Amirul untuk terus berjuang dan tidak melupakan jasa ibu bapanya.

Perkongsian ini turut diakhiri dengan permohonan Amirul agar orang ramai mendoakan kesihatan abahnya.

Kisah ini mengingatkan kita bahawa pengorbanan seorang ayah sering kali tidak terungkap dengan kata-kata.

Dalam apa jua keadaan, mereka tetap berusaha memberikan yang terbaik buat keluarga.

Jika ibu bapa kita masih ada, hargailah setiap momen bersama mereka kerana suatu hari nanti, kenangan itulah yang akan paling kita rindui.

Baca juga: Anak Label Nota Kecil Pada Setiap Barangan Ibu Tunai Haji, Netizen Puji ‘Comelnya’ & Luah Sebak

Sumber: Tiktok @amiruladam970

FT Images: Tiktok @amiruladam970

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×