Musim durian kali ini meriah dengan lambakan buah dan harga yang lebih rendah. Antara momen yang mencuri perhatian ramai ialah tindakan seorang guru yang memborong 100 kilogram buah durian Musang King di Gua Musang sebelum mengangkutnya menggunakan sebuah Volkswagen Beetle untuk dijual semula di Kuala Lumpur.
CIKGU BORONG 100KG BUAH DURIAN MUSANG KING, LETAK DALAM VOLKSWAGEN BEETLE

Foto: Facebook Tieok Eng
Kisah tersebut dikongsikan oleh seorang penjual durian terkenal di Gua Musang, Tieok Eng, atau lebih mesra dikenali sebagai Aunty, menerusi satu hantaran di Facebook yang kini meraih perhatian ramai.
Menurut Aunty, pelanggan tetapnya yang dikenali sebagai Cikgu Saiful sekali lagi membuat tempahan durian Musang King dalam jumlah yang besar, iaitu sebanyak 100 kilogram.
Pada mulanya, Aunty menyangka tempahan itu sama seperti kebiasaan, iaitu untuk dijual semula di Kota Bharu.
Namun, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa kesemua durian premium itu sebenarnya akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk dijual.
“Cikgu Saiful hari ni order lagi 100 kilo durian Musang King. Aunty ingat nak gi jual kat KB lagi, rupanya nak gi jual kat KL. Ni baru betul-betul orang rajin, mengajar lagi dan rebut peluang cari rezeki lebih masa musim durian ni,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Guna Volkswagen Beetle Buat Netizen Kagum

Foto: Facebook Tieok Eng
Perkongsian itu segera menarik perhatian warganet yang rata-ratanya kagum dengan usaha cikgu berkenaan memanfaatkan musim durian untuk menambah pendapatan sampingan.
Ramai yang memuji sikap rajin dan tidak memilih kerja, lebih-lebih lagi apabila beliau masih menjalankan tugas sebagai pendidik, namun dalam masa sama bijak mengambil peluang perniagaan bermusim.
Apa yang lebih mencuit hati netizen ialah cara durian-durian tersebut diangkut. Jika kebanyakan orang membayangkan 100 kilogram durian memerlukan kenderaan besar seperti MPV, van atau pikap, lain pula kisah Cikgu Saiful apabila dia menggunakan sebuah Volkswagen Beetle untuk membawa muatan tersebut.
Dalam ruangan komen, ramai netizen meninggalkan pelbagai reaksi lucu dan kagum. Ada yang memuji kegigihan cikgu itu, manakala ada juga yang terkejut melihat kapasiti kereta tersebut yang masih mampu membawa durian dalam kuantiti sebegitu banyak.
Kisah Cikgu Saiful ini secara tidak langsung membuktikan bahawa musim durian bukan sekadar musim makan durian, tetapi juga musim mencari peluang.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, usaha seperti ini dilihat sebagai satu contoh positif tentang bagaimana seseorang boleh menggunakan peluang yang ada untuk menambah sumber pendapatan secara halal dan kreatif.
Baca juga: Terbongkar Selepas Bertahun-Tahun, Remaja Dakwa Jadi Mangsa R*gol Bapa Sejak Usia 6 Tahun
Sumber: Facebook Tieok Eng
