Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Vijeswari Devi, mengesahkan bahawa remaja perempuan yang ditahan bagi membantu siasatan kes tikam pelajar di sebuah sekolah di Kuala Langat merupakan orang kurang upaya (OKU) dalam kategori autisme.
Baca juga: 110 Rakyat Malaysia Disahkan Hidap Kanser Setiap Hari, Rekod Pesakit Wanita Lebih Tinggi
KES TIKAM PELAJAR DI SEKOLAH, PEGUAM SAHKAN SUSPEK OKU

Menurut beliau, hanya maklumat itu sahaja yang boleh didedahkan kepada pihak media mengenai keadaan anak guamnya.
Dalam perkembangan sama, remaja berusia 15 tahun itu dibenarkan direman selama empat hari bermula Selasa selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, mengesahkan tempoh reman tersebut dan memaklumkan siasatan masih diteruskan.
Sejak awal pagi, pekarangan Mahkamah Telok Datok dipenuhi petugas media yang menantikan perkembangan kes berprofil tinggi itu.

Walau bagaimanapun, suspek tidak kelihatan kerana dipercayai telah dibawa masuk ke kawasan mahkamah lebih awal menggunakan kenderaan polis sebelum dibawa keluar sejurus selesai prosiding.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi Isnin, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga berusia 15 tahun dilaporkan cedera selepas dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan ketika berada di kawasan sekolah.
Mangsa segera dihantar ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan, manakala siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan berhampiran surau sebelum kejadian berlaku.
Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh.
Baca juga: Pelajar Lari Selamatkan Diri, Tular Video Individu Masuk Sekolah Bawa Senjata Tajam!
Sumber: Sinar Harian
