Suspek kes tikam di sekolah menengah di Banting mendakwa tindakan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati dan perasaan terpendam selepas dipercayai menjadi mangsa buli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal yang dijalankan setakat ini masih belum menemukan bukti yang menunjukkan berlaku kejadian buli seperti didakwa suspek.
Baca juga: Kerajaan Putuskan Umur Persaraan Penjawat Awam Kekal 60 Tahun, Tiada Sebarang Perubahan
KES TIKAM DI SEKOLAH, SUSPEK BERI ALASAN PENDAM RASA KERANA DIBULI

“Siasatan secara menyeluruh masih lagi berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
“Namun begitu hasil siasatan awal pada peringkat ini kita mendapati, alasan yang diberikan oleh suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan suspek memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
“Hasil keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli,” jelasnya.
Menurut beliau, siasatan turut mendapati suspek dipercayai berdepan tekanan emosi serta kemungkinan mempunyai masalah keluarga yang kini masih dalam penilaian pakar kaunseling.
Selain itu, polis juga sedang meneliti sama ada penggunaan media sosial mempunyai kaitan atau mempengaruhi pemikiran serta tindakan suspek.
Shazeli turut memaklumkan bahawa suspek pernah terbabit dalam insiden terjun dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu.
Tambah beliau, polis mengesahkan suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Autisme dan sudah kira-kira lapan bulan tidak hadir ke sekolah kerana menjalani pembelajaran di rumah (home schooling) atas faktor kesihatan.
Senjata tajam dibeli secara dalam talian

Dalam perkembangan sama, polis mendedahkan bahawa senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu dibeli secara dalam talian.
“Senjata itu diletakkan di dalam beg galas dan dia masuk ke kawasan sekolah melalui pintu pagar yang terbuka,” katanya.
Menurut siasatan, suspek dipercayai mengambil kesempatan memasuki kawasan sekolah ketika pintu pagar dibuka dan perkara itu bukan berpunca daripada kelemahan kawalan keselamatan pihak sekolah.
Sementara itu, mangsa yang merupakan pelajar perempuan Tingkatan Tiga dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
“Jumlah kesan tikaman belum dapat diberikan, polis sedang tunggu laporan perubatan rasmi, kita tidak membuat teka-teki berapa jumlahnya,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian
