Euforia Bola 2026
Famili

“Saya Tak Pernah Abaikan Dia..”- Dakwa Dipaksa Mengaku Bunuh Anak, Ibu Zayn Rayyan Dedah Tekanan Ketika Disiasat

ibu zayn rayyan

Semalam, Mahkamah Sesyen memerintahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membela diri, manakala bapa kanak-kanak autistik itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka yang berusia 6 tahun berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf, tertuduh kedua dalam kes pengabaian kanak-kanak autisme, tidak dapat menahan sebak apabila menyebut nama anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, ketika memberikan keterangan prosiding hari ini.

Baca juga: Mahkamah Putuskan Bapa Zayn Rayyan Bebas, Ibu Pula Diperintah Untuk Bela Diri

“MEREKA TUDUH SAYA BUNUH ANAK SENDIRI”- IBU ZAYN RAYYAN BELA DIRI

ibu zayn rayyan

Foto: AWANI

Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada arwah Zayn Rayyan Abdul Matin, tampil menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan berkaitan kematian anak lelakinya yang menggemparkan negara.

Ismanira, 30 tahun, mendakwa dia telah dipaksa oleh pihak polis untuk membuat pengakuan membunuh anak kandungnya ketika berada dalam tahanan reman. Menurutnya, sepanjang proses soal siasat, dia memberi kerjasama sepenuhnya namun berdepan tekanan luar biasa apabila kenyataannya tidak diterima pihak berkuasa.

“Mereka menuduh saya dan mengarang cerita tentang sesuatu yang saya tidak lakukan. Mereka reka cerita kononnya saya yang menjumpai dan membunuh anak saya sendiri. Bila saya nafikan, mereka tetap tidak puas hati,” katanya dalam nada sebak di kandang saksi.

Tambahnya lagi, dia telah dibawa ke sebuah lokasi yang dikenali sebagai safe house dan dipaksa membuat pengakuan bersalah. Ismanira juga mendakwa dirinya digertak sebelum dibawa berjumpa Majistret untuk membuat pengakuan yang dia tidak rela lakukan.

“Saya beritahu Majistret bahawa saya tidak rela ke sana, saya dipaksa. Namun akhirnya Majistret menerima pengakuan tidak bersalah saya,” jelasnya.

Tegas Nafikan Pengabaian Anak

ibu zayn rayyan

Ismanira turut menolak dakwaan bahawa dia telah mengabaikan anaknya pada hari kejadian. Menurutnya, sepanjang hayat Zayn, dia tidak pernah membiarkan anaknya bersendirian kecuali ketika dia bekerja atau ketika Zayn berada di sekolah.

“Saya mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn. Saya hanya berpisah dengannya apabila saya keluar bekerja atau ketika dia berada di sekolah,” luahnya.

Beliau juga menafikan pernah berada di kawasan sungai yang menjadi lokasi penemuan mayat Zayn, sekali gus menolak pertuduhan yang mengaitkannya dengan lokasi tersebut.

“Saya tidak pernah ke kawasan sungai itu, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. Saya benar-benar kehilangan anak saya hari itu. Saya tak pernah mengabaikannya,” katanya dengan tegas.

*Kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh negara selepas mayatnya ditemui dalam keadaan tragis berhampiran sebuah anak sungai berhampiran kediaman keluarganya. Ismanira dan suaminya sebelum ini telah didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak mereka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Perbicaraan kes ini masih berjalan dan tumpuan kini tertumpu kepada keterangan saksi-saksi pembelaan serta penilaian bukti oleh pihak mahkamah.

Baca juga: “Dia Pilih Nyawa Anak…” – Ibu Muda Meninggal Selepas Bersalin, Detik Terakhir Suami Cium Jenazah Runtun Hati

Sumber: AWANI 1, 2

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×