Bersenam bukan sekadar menjaga kesihatan fizikal, tetapi juga menjadi ruang untuk menyegarkan fikiran dan meredakan tekanan hidup. Namun, bagi seorang wanita ini, aktiviti jogging menjadi mimpi ngeri kerana suami curang!
Macam mana suami boleh curang sedangkan keluar pergi jogging? Ini kisahnya…
Baca juga: Dah Bosan Panggil Suami ‘Sayang’? Ini Nama Panggilan Manja Dalam 10 Bahasa Bikin Hati Cair!
DISANGKA JOGGING NAK SIHAT, RUPANYA KANTOI SUAMI CURANG!

Foto: freepik
Megan Mcgee, 29 tahun, tidak pernah menyangka bahawa rutin larian suaminya yang kelihatan sihat itu sebenarnya menyimpan rahsia gelap. Suaminya yang bekerja sebagai anggota tentera sering pulang bercuti dan akan keluar bersenam seorang diri dengan kerap.
Walaupun pada mulanya Megan simpati dan menawarkan diri untuk turut serta, suaminya kerap menolak dengan alasan yang mencurigakan. Namun sebagai isteri yang mempercayai suami, dia tidak pernah menyangka ada sesuatu yang disembunyikan.
Segala-galanya berubah apabila suaminya tiba-tiba meminta untuk ‘berehat’ dari perkahwinan mereka. Hati Megan mula digamit rasa curiga namun naluri wanitanya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.
Lalu dia menyiasat sendiri bukan melalui mesej atau gambar, tetapi melalui aplikasi larian di telefon suaminya. Di situlah segalanya terbongkar!
“Apa yang saya jumpa dalam peta larian itu sangat menyakitkan. Dia mula berlari dari rumah kami… dan berakhir di rumah seorang wanita,” kata Megan dalam nada sebak.
Lebih menyakitkan hati, laluan itu bukan sekali dua direkod, malah berulang-ulang kali lalu memperkukuh lagi kecurigaannya bahawa suaminya curang dengan wanita yang tinggal tidak jauh dari kediaman mereka.
Berakhirnya Sebuah Ikatan Perkahwinan…

Foto: freepik
Empat tahun perkahwinan mereka akhirnya musnah gara-gara teknologi yang sepatutnya membantu kesihatan, kini menjadi saksi pengkhianatan. Megan akhirnya membuat keputusan untuk berpisah demi harga diri dan maruahnya.
“Aplikasi itu mungkin menyelamatkan nyawa orang lain. Tapi untuk saya, ia menyelamatkan saya daripada terus ditipu,” katanya.
Pengajaran dari kisah ini adalah kepercayaan dalam perkahwinan ibarat akar pokok yang menyokong segalanya. Sekali tercabut, sukar untuk kembali seperti sediakala. Bersenam itu sihat, tapi jangan sampai disalahguna jadi alasan untuk melukai hati insan yang menyayangi….
Sumber: New York Post
