Petanda awal kanser saraf hanya disedari apabila mata kiri tiba-tiba menjadi sepet, sekali gus mengubah kehidupan seorang kanak-kanak kecil yang ketika itu baru berusia beberapa bulan.
Itulah yang dialami Adam Mikael Muhammad Izzat, kini berusia dua tahun, selepas disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.
Baca juga: Pakar Psikiatri Kongsi 7 ‘JANGAN’ Dalam Proses Didik Anak Bila Mereka Berdepan Stres!
ADAM 2 TAHUN, HIDAP KANSER SARAF NEUROBLASTOMA

Gambar Rohanis Shukri: Nur Dyana Samimi Hasni, 32, bersama anaknya, Adam Mikael Muhammad Izzat, setahun lima bulan, yang menghidap kanser neuroblastoma atau kanser saraf tahap empat di temui di kediamanya Idaman Bukit Jelutong.
Ibu Adam, Nur Dyana Samimi Hasni, 32, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan secara normal pada 17 Julai 2024 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Namun pada Februari tahun lalu, saya lihat Adam bangun dalam keadaan mata kirinya sepet. Pada mulanya, saya ingat matanya digigit semut dan terus membawanya ke klinik swasta.
“Selepas tiga minggu, mata kiri Adam masih sepet dan dirujuk ke pakar mata di sebuah hospital swasta.
“Hasil pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) mendapati terdapat ketumbuhan di bahagian atas dada kiri Adam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong di sini.
Nur Dyana berkata, Adam kemudian dirujuk ke Hospital Tunku Azizah (HTA) untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat pada Jun tahun lalu.
“Imbasan pertama dilakukan mendapati terdapat ketumbuhan sebesar bola golf di bahagian atas dada kiri Adam yang dibuang menerusi prosedur pembedahan pada November tahun lalu.
“Selain itu, terdapat juga sel kanser dikesan di bahagian pinggul serta kedua-dua kakinya,” katanya yang memaklumkan Adam sudah lapan kali menjalani rawatan kemoterapi.
Menurutnya, Adam masih perlu menjalani rawatan susulan dan akan memulakan kitaran baharu kemoterapi sementara menunggu proses transplan dijalankan.
Baca juga: Tak Sangka! Mak Asma & Ayah Resdung, Anak Boleh Kena Ekzema? Fahami Fenomena ‘Atopic March’

Gambar Rohanis Shukri.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan anak disahkan menghidap kanser memandangkan dia sihat sebelum ini.
“Jika dilihat pada latar belakang keluarga, suami saya kehilangan kakaknya pada usia tiga tahun akibat kanser otak,” katanya.
Walaupun melalui rawatan intensif, Nur Dyana bersyukur apabila anaknya menunjukkan reaksi positif sepanjang proses rawatan kemoterapi apabila tidak merengek sepanjang prosedur berkenaan.
“Meskipun begitu, saya sedih kerana Adam tidak dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain yang bebas bermain di taman kerana sistem imunisasinya rendah.
“Saya harap Adam cepat sembuh dan bebas daripada kanser supaya dia dapat menikmati kehidupan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Baca juga: Gusar Hati Mak Ayah Kes Dera Makin Menjadi-Jadi, Ini 5 Cara Pilih Tadika Yang Selamat & Terbaik!
Sumber: Harian Metro
FT Image: Rohanis Shukri
