Nama dan kisah Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin pernah menjadi sebutan segenap rakyat Malaysia pada tahun 2019. Ketika itu, perjuangannya sebagai bayi yang menentang kanser benar-benar menggetarkan hati seluruh negara.
Hari ini, senyumannya yang manis dan riang kembali mewarnai laman media sosial, membawa sinar harapan kepada ramai yang mengikuti kisahnya sejak kecil.
Baca juga: Bapa Tunggal Rayu Hadiahkan Sepotong Kek Untuk Hari Lahir Anaknya Undang Sebak
KISAH AINUL MARDHIAH MASIH DIIKUTI, NETIZEN TERHARU TENGOK PERKEMBANGAN TERKINI!

Foto terkini.
Melalui satu hantaran di Facebook oleh bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, kelihatan Ainul kini menikmati masa berkualiti ketika berkhemah, penuh keceriaan dan dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Ainul dan perkhemahan. Inilah dunianya sekarang,” tulis bapanya dengan penuh kesyukuran.
Beberapa keping gambar menunjukkan Ainul, 7 tahun, bermain dengan bebas di tengah alam semula jadi dan senyumannya yang polos serta gelagat spontan benar-benar menyentuh hati. Suasana itu menggambarkan betapa dia kini menikmati kehidupan kanak-kanak yang normal, setelah melalui fasa paling getir dalam hidupnya.
Dahulu, Ainul pernah dirundung ujian besar apabila disahkan menghidap Germ Cell Tumor di bahagian mulut ketika usianya baru lapan bulan. Keadaannya sangat kritikal dan memerlukan rawatan pakar di luar negara.

Foto Berita Harian: Keadaan Ainul Mardhiah berusia 8 bulan tahun 2019.
Di sinilah muncul sinar harapan dengan bantuan Dr. Nur Amalina Che Bakri, pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia yang bertugas di United Kingdom, Ainul diterbangkan ke sana dan menjalani rawatan intensif. Segala usaha, air mata, dan pengorbanan kedua ibu bapanya menjadi saksi betapa kuatnya semangat keluarga ini.
JADI SIMBOL KEKUATAN UNTUK KANAK-KANAK LAIN

Foto terkini.
Proses pemulihan yang Ainul lalui bukan mudah kerana ia penuh ujian dan memerlukan kesabaran luar biasa. Namun hari ini, Ainul berdiri sebagai simbol kekuatan dan keajaiban sebuah doa yang tidak pernah putus.
Perubahan ketara Ainul yang kini membesar ceria, aktif dan sihat, mengundang rasa syukur dalam kalangan rakyat Malaysia yang pernah mengikuti kisahnya. Ramai yang tersentuh melihat gambar-gambar terbarunya, dari seorang bayi yang lemah dan terlantar, kini Ainul menikmati alam sebagai seorang anak kecil yang penuh semangat hidup.
Sokongan rakyat, keprihatinan para doktor, dan kekuatan keluarga menjadi tulang belakang dalam kisah keajaiban ini. Ainul Mardhiah bukan sekadar seorang kanak-kanak malah dia adalah lambang harapan, ketabahan, dan bukti bahawa doa dan usaha yang bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan hasil. Terus sihat Ainul!
Baca juga: Mak Ayah Ada Anak OKU Layak Mohon Road Tax Percuma, Ini Caranya
Sumber: Ahmad Safiuddin
