Siti Nur Arisya Humairah Muhammad Azri kini hanya mempunyai sebelah buah pinggang di usianya yang baru 3 tahun. Hal ini kerana, buah pinggang kanannya terpaksa dibuang akibat kanser ‘Right Wilms Tumor’ tahap empat.
Kanser jarang ini biasanya menyerang kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan boleh melibatkan satu atau kedua-dua buah pinggang.
DI USIA TIGA, ARISYA HILANG SEBELAH BUAH PINGGANG

Gambar Zuliaty Zulkiffli: PENGERUSI Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) menziarahi pesakit kanser kanak-kanak, Siti Nur Arisya Humairah Muhammad Azri, 3, yang menghidap kanser ‘Right Wilms Tumor’ (Nephroblastoma) tahap 4.
Pada mulanya, disangkakan Arisya sakit kembung biasa
Walaupun menghadapi ujian kesihatan yang serius, Arisya tetap lincah dan ceria, bermain bersama abang dan kakaknya setiap hari seperti kanak-kanak lain.
Ibu Arisya, Ummi Khalsom Ishak, 33, menjelaskan bahawa anak bongsu dari tiga beradik itu pada mulanya dikesan menghidap kanser sejak berusia tujuh bulan apabila dia kerap mengalami kembung perut.
Dia yang menyangka anaknya kembung perut biasa hanya menyapu minyak angin untuk meredakan kesakitannya.
“Namun tidak lama selepas itu, Arisya kerap demam dan ketika itu saya membawanya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran tetapi dimaklumkan anak saya demam biasa.
“Ketika usianya 11 bulan, suami nampak perubahan pada anak kami apabila perutnya nampak tinggi sebelah dan dia yang ketika itu berjalan dalam keadaan kaki senget sebelah.
“Kami membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta dan doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesyaki anak saya mempunyai ketumbuhan sama ada hati atau buah pinggang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Terendam, semalam.
Arisya lalui 32 pusingan kemoterapi, 14 kali radioterapi & buang buah pinggang kanan
Ummi Khalsom menerangkan bahawa selepas itu mereka berulang-alik antara rumah dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bertemu pakar anaknya dan menjalani rawatan susulan.
“Ketika itu kereta kami rosak tetapi kami redah juga ke Alor Setar demi rawatan untuk anak tersayang tetapi lepas itu minta bantuan adik ipar untuk pinjam kereta ke hospital.
“Masa itu doktor cakap anak saya perlu menjalani pembedahan segera tetapi disebabkan kedudukan tumor itu di buah pinggang kanan, pembedahan tidak boleh dibuat kerana berisiko.
“Rutin harian kami ketika itu hanya berulang-alik ke HSB sehinggalah anak saya mengalami kencing berdarah, memang saya risaukan keadaannya ketika itu,” katanya.
Ummi Khalsom berkata, doktor kemudian meminta dia merujuk kes anaknya itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 32 pusingan dan 14 kali radioterapi di sana.
Lebih memilukan apabila pembedahan membuang buah pinggang kanan anaknya dilakukan tahun lalu dan kini Arisya hanya bergantung pada buah pinggang kiri.
“Selepas menjalani kemoterapi, keadaannya makin baik dan pergerakannya lincah seperti kanak-kanak lain tetapi kami perlu membawanya ke HSB dan HPP dengan jarak yang jauh dari rumah.
“Saya pula kini sedang hamil sembilan bulan dan tidak bekerja manakala suami pula hanya bekerja mengambil upah menebang buluh bergantung pada permintaan, “ katanya.

Tangkap layar video Harian Metro.
Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Aiman Naufal Muhammad Azri, 6, akan memasuki persekolahan tahun satu bulan depan manakala anak keduanya, Siti Nur Aisyah Safiya, 5, akan memasuki prasekolah
Katanya, dengan keadaan anak mereka sakit mereka sebelum ini terpaksa berhutang dengan kawan dan ahli keluarga kerana tidak mampu membayar kos rawatan anak di hospital serta kos ulang-alik.
“Namun sejak mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapatlah kami guna wang untuk membawa anak ke hospital.
“Kami sekeluarga tinggal bersama emak, Siti Zabedah Shaari, 67, yang sudah uzur dan menghidap penyakit darah tinggi dan sepanjang saya menjaga anak di hospital, emak yang jaga anak-anak saya di sini,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Ummi Khalsom di talian 0135278537.
Baca juga: Bayi 2 Bulan Cirit-Birit Meninggal Dunia, Selepas Diberi Minum Minyak Herba Oleh Bidan Kampung!
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro
