Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hasil minat luar biasanya terhadap nombor dan matematik. Bermula dengan kecenderungan terhadap angka sejak usia tiga tahun, T. Vishakan kini menjadi perhatian ramai selepas berjaya menyelesaikan puluhan soalan sifir dalam tempoh yang sangat singkat.
53 Soalan Sifir Berjaya Diselesaikan Dalam Masa Seminit

Foto: Bernama
Pada 12 Jun lalu, Vishakan berjaya mencipta rekod dalam kategori “Most Multiplication Completed By A Child In One Minute” apabila berjaya menyelesaikan sebanyak 53 soalan sifir hanya dalam tempoh satu minit.
Menurut bapanya, K. Thanarajan, minat luar biasa anaknya terhadap nombor mula disedari sejak kecil lagi.
Ketika menaiki kereta bersama keluarga, Vishakan sering memberi perhatian kepada nombor plat kenderaan, nombor rumah serta papan tanda lebuh raya.
Lebih menarik, nombor-nombor yang dilihat itu bukan sekadar disebut, malah sering dikaitkan dengan operasi matematik dan sifir yang telah dipelajarinya.
Kenal Saudara-Mara Melalui Nombor Rumah
Thanarajan turut berkongsi bahawa anaknya mempunyai cara unik dalam mengingati sesuatu.
Jika kebanyakan kanak-kanak mengenali saudara-mara melalui nama mereka, Vishakan pula lebih mudah mengingati dan merujuk kepada mereka berdasarkan nombor rumah masing-masing.
Keupayaan itu membuatkan ibu bapanya mula menyedari bahawa Vishakan mempunyai kecenderungan yang istimewa dalam bidang matematik dan pengiraan.
Mampu Kuasai Soalan Sifir Tahap Tinggi Pada Usia Muda

Foto: Bernama
Minat Vishakan terhadap matematik terus berkembang apabila dia kerap menonton program pendidikan berkaitan nombor dan pengiraan.
Hasil pendedahan tersebut, dia bukan sahaja mampu mengingati nombor dengan baik, malah berjaya memahami konsep matematik pada tahap yang jauh lebih tinggi berbanding kanak-kanak seusianya.
Menurut bapanya, Vishakan sudah mampu menjawab sifir yang lebih mencabar termasuk jadual sifir 21, sesuatu yang jarang dikuasai oleh kanak-kanak pada usia enam tahun.
Menyedari potensi yang dimiliki anak mereka, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih terancang.
Mereka mendaftarkan Vishakan ke kelas aritmetik bagi membantu mengembangkan bakat yang dimilikinya.
Melalui pelbagai program dan pertandingan matematik yang disertai, kemahirannya semakin terserlah sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan daripada MBOR.
Amalkan Rutin Belajar Satu Jam Setiap Hari
Menurut ibunya, J. Mira Sharvina, kejayaan tersebut tidak datang secara kebetulan tetapi dibentuk melalui rutin yang konsisten sejak anaknya masih kecil.
Keluarga itu memperuntukkan satu jam setiap malam khusus untuk aktiviti pembelajaran tanpa gangguan telefon pintar atau peranti elektronik.
Rutin tersebut bermula sejak Vishakan berusia sekitar tiga tahun ketika dia mula belajar membaca dan mewarna.
Pada hari Isnin hingga Jumaat, masa diperuntukkan untuk pembelajaran mengikut jadual yang ditetapkan, manakala hujung minggu digunakan untuk bermain dan berehat.
Setiap Kanak-Kanak Mempunyai Potensi Tersendiri
Ibu Vishakan percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan bakat yang berbeza.
Apa yang penting ialah ibu bapa memahami minat anak-anak serta memberikan ruang dan peluang untuk mereka berkembang.
Kejayaan Vishakan membuktikan bahawa sokongan keluarga, disiplin yang konsisten dan persekitaran pembelajaran yang sesuai mampu membantu kanak-kanak mencapai potensi terbaik mereka.
Pengiktirafan MBOR tersebut disampaikan oleh Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor dan V. Menaga kepada Vishakan pada Jumaat lalu.
Baca juga: 5 Menu Sarapan Yang Buat Anak Cepat Lapar Semula, Ramai Ibu Bapa Selalu Beri Tanpa Sedar
Sumber: Bernama
FT Images: Bernama
