Seorang kanak kanak lemas selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sebuah terusan sedalam kira-kira lima meter di Jalan Bertam Perdana 2, Pulau Pinang pada 9 April. Mangsa berusia 6 tahun dan sedang bermain dengan rakan-rakannya di tepi terusan sebelum terjatuh dan lemas.
Baca juga: Apa Perlu Buat Jika Anak Lemas? Ini 6 Langkah Kecemasan Mak Ayah Kena Tahu
KANAK KANAK LEMAS SELEPAS TERJATUH DALAM TERUSAN

Foto: Penang Kini
Dalam kejadian yang berlaku sekitar petang itu, mangsa, Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin dilaporkan sedang bermain bersama rakan-rakannya di tepi terusan sebelum hilang keseimbangan dan tergelincir ke dalam terusan berkenaan.
Arus deras dipercayai telah menghanyutkan mangsa dari lokasi kejadian.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan.
Operasi tersebut melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam dengan bantuan BBP Kepala Batas.
Komander operasi kemudiannya menjalankan penilaian awal (‘size up’) sebelum memulakan usaha pencarian menggunakan kaedah water surface searching dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Maklumat awal daripada rakan mangsa memaklumkan bahawa mangsa tergelincir sebelum terjatuh ke dalam terusan. Operasi SAR terus dijalankan sejurus ketibaan pasukan di lokasi,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak bomba kemudiannya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Pasukan penyelamat bertindak segera dengan terjun ke dalam terusan bagi membawa mangsa naik ke darat sebelum memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
MANGSA MENINGGAL DUNIA DI TEMPAT KEJADIAN

Foto: Penang Kini
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan bedah siasat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.56 petang.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak, khususnya ketika berada berhampiran kawasan berisiko seperti sungai, tasik atau terusan.
Faktor keselamatan perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Baca juga: Memancing Bertukar Tragedi, Kanak-Kanak 12 Tahun Meninggal Dunia Terjatuh Loji Air
Sumber: Harian Metro dan Penang Kini
FT Images: Penang Kini
