Euforia Bola 2026
Sihat

‘Senyuman Menyeramkan’ Dalam Masjid, Pesakit Skizofrenia Tunjuk POV Bagaimana Halusinasi Berlaku

penyakit mental skizofrenia

Tidak semua memahami bagaimana rasanya hidup sebagai pesakit penyakit mental skizofrenia. Ada yang hanya menilai dari luar tanpa menyelami derita sebenar yang ditanggung oleh mereka yang berjuang setiap hari melawan gangguan dalam fikiran sendiri.

Gangguan mental serius yang menjejaskan cara seseorang berfikir, merasa dan berkelakuan ini mendapat perhatian apabila satu video tular di laman media sosial.

Baca juga: 10 Jenis Masalah Gangguan Keperibadian/Mental, Ramai Alami Yang No.7!

PESAKIT PENYAKIT MENTAL SKIZOFRENIA TUNJUK BAGAIMANA HALUSINASI TERJADI

penyakit mental skizofrenia

Menurut laman rasmi Hospital Bahagia Ulu Kinta, pesakit skizofrenia mungkin kelihatan seperti telah ‘terputus’ daripada realiti. Keadaan itu bukan sahaja mengganggu kehidupan mereka, malah memberi kesan besar kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat. Walaupun sukar untuk menjalani kehidupan harian, rawatan berterusan dan sokongan sekeliling mampu membantu pesakit menjalani hidup dengan lebih stabil.

Seorang pengguna TikTok, @fitri_azeez, baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila berkongsi video simulasi yang menggambarkan pengalaman sebenar berhalusinasi akibat skizofrenia.

Fitri yang disahkan menghidap penyakit itu sejak tahun 2021 menceritakan detik mencemaskan ketika dia mengalami halusinasi di dalam masjid sewaktu mendengar khutbah Jumaat.

“Saya nampak beberapa orang sedang solat sunat membelakangi kiblat. Ada yang tunduk, ada yang memandang saya dengan senyuman menyeramkan,” kongsinya.

Menurut Fitri, situasi itu membuatkan dia panik dan berlari keluar dari masjid sebelum berkurung di dalam tandas sehingga azan iqamat berkumandang.

“Tiada ‘pelakon tambahan’. Wajah-wajah yang saya nampak itu seperti orang rawak yang saya lihat ketika berjalan dalam masjid,” katanya lagi.

Ujian Dari Allah, Pernah Alami Halusinasi Dalam Panggung Wayang

penyakit mental skizofrenia

Halusinasi yang nampak seperti orang solat senyum dan membelakangi kiblat.

Namun selepas melalui situasi itu berulang kali, Fitri mengakui dia kini lebih tenang dan melihat halusinasi tersebut sebagai satu bentuk ujian daripada Allah SWT.

“Saya percaya masjid tempat yang selamat, ada aura positif. Halusinasi itu cuma gangguan, bukan realiti. Allah sedang menguji sama ada saya lebih takut pada gangguan atau lebih bertakwa kepada-Nya,” tulisnya dalam kapsyen.

Menurutnya lagi, inilah sebab ramai pesakit skizofrenia berasa takut untuk keluar ke tempat awam, bukan kerana tidak mahu bersosial, tetapi kerana bimbang gangguan halusinasi menyerang secara tiba-tiba. Fitri turut berkongsi satu lagi pengalaman ketika menonton filem Imaginur, lakonan Beto Kusyairy dan Diana Danielle.

“Saya rasa seperti pelakon dalam skrin memandang tepat ke arah saya selama beberapa minit. Filem itu memang ‘trigger’ pengalaman halusinasi saya,” ujarnya.

Walaupun masih menjalani rawatan dan bergantung kepada ubat yang diberikan doktor, Fitri memilih untuk berkongsi kisahnya agar masyarakat lebih faham tentang penyakit ini.

Perkongsian Fitri itu menerima pelbagai reaksi positif. Ramai yang berterima kasih kepadanya kerana berani membuka mata masyarakat tentang realiti sebenar hidup sebagai pesakit skizofrenia iaitu sesuatu yang sering disalahfahamkan.

Setakat ini, video tersebut telah meraih lebih tiga juta tontonan di TikTok, sekali gus menjadi medium penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di Malaysia.

@fitri_azeezVideo ini adalah simulasi pengalaman saya berhalusinasi di dalam masjid. Ia pernah berlaku kepada diri saya. saya sedang mendengar khutbah jumaat. Saya melihat beberapa orang yg sedang solat sunat tiba² membelakangi kiblat. Ada yg memandang saya, ada juga yg hanya tunduk memandang ke arah karpet sejadah dan ada memandang saya dengan senyuman yg menyeramkan. Dan beberapa puluh orang yg sedang mendengar khubat tiba² memandang tepat ke arah mata saya dengan renungan yg kosong. Ketika pertama kali perkara ini berlaku, saya lari keluar dari masjid dan berkurung di dalam tandas masjid sehingga saya dengar iqamat, baru saya keluar dan tunaikan solat jumaat. Apabila perkara ini berlaku beberapa kali, saya sudah tidak takut lagi. Saya hanya tunduk ke bawah. Saya menganggap ini hanya ujian Allah swt. Allah nak uji saya sama ada saya bertakwa padaNya atau saya lebih takut pada gangguan halusinasi. Saya percaya masjid adalah tempat yg selamat dan mempunyai aura positif. Halusinasi itu hanya satu gangguan. Namun, inilah sebabnya kenapa ramai penghidap skizofrenia takut nak keluar atau pergi ke tempat orang ramai. Pengalaman saya berhalusinasi begitu bukan sahaja di masjid. Di dalam panggung wayang juga pernah berlaku. Ketika saya sedang asyik menonton, tiba² pengunjung/penonton yang lain memandang ke arah saya. Pernah suatu hari tu saya pergi wayang menonton filem Imaginur sampai Beto Khusyairi dan Diana Danielle yg berada di dalam skrin wayang memandang tepat ke arah saya untuk beberapa minit. Cerita Imaginur itu memang boleh trigger saya kerana ada beberapa scene yg kena dengan pengalaman halusinasi saya. Seperti biasa, tiada pelakon extra. Jemaah yg pusing menghadap saya itu bukanlah rupa seperti saya, ia berupa wajah² random yg saya nampak sepanjang saya berjalan di dalam masjid untuk mendapatkan tempat duduk. Jadi, situasi dalam video ni tak berapa nak relate sangat. Situasi yang sebenar, jemaahnya ramai.♬ Original Sound – Unknown

Kesimpulannya, kisah Fitri membuktikan bahawa pesakit skizofrenia bukanlah ‘gila’ seperti yang sering disalah anggap. Mereka hanyalah manusia biasa yang berjuang melawan gangguan dalam fikiran sendiri, sambil mengharapkan kefahaman dan empati daripada masyarakat.

Baca juga: Info Lengkap Ciri-Ciri Anda Hadapi Gangguan Mental Pada Peringkat Awal, AWAS!

Sumber: Tiktok 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×