Fasa kehamilan sememangnya penuh dengan perubahan bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi dan selera makan. Perubahan hormon yang berlaku sering membuatkan ibu mengandung mengidam pelbagai jenis makanan dan minuman, termasuklah sesuatu yang sebelum ini langsung tidak digemari seperti durian Musang King.
Ada yang sebelum ini tidak boleh melihat durian, tetapi bila hamil, bau durian pun sudah cukup membuatkan hati berbunga. Malah, ada juga yang tidak boleh tidur lena selagi keinginan itu tidak dipenuhi.
Baca juga: Resepi Serawa Durian Pekat Berlemak, Menu Musim Durian Paling ‘Laku Keras’…Tak Cukup Semangkuk!
PENIAGA NAK BAGI DURIAN MUSANG KING PERCUMA BUAT IBU HAMIL SEHINGGA FEBRUARI 2026

Situasi inilah yang mendorong seorang peniaga buah di Pulau Pinang untuk berkongsi rezeki dengan golongan ibu hamil, sekali gus mencuri perhatian ramai di media sosial.
Berita baik buat ibu-ibu yang sedang hamil dan mengidam durian, Pakteh Fruits yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini menawarkan Durian Musang King secara percuma setiap hari bermula 4 Disember hingga 1 Februari 2026.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, pemilik kedai buah berkenaan memaklumkan bahawa pemberian durian percuma itu dihadkan antara 10 hingga 30 biji sehari, bergantung kepada stok. Syaratnya juga cukup mudah, ibu hamil perlu datang sendiri ke kedai dan menebus durian tersebut daripada pekerja yang bertugas.
Agihan akan bermula sekitar jam 3 petang sehingga stok habis, siapa cepat, dia dapat. Namun setiap ibu hamil hanya layak menerima sebiji durian seorang.
Tak Sempat Tebus Percuma? Ada Diskaun Istimewa Menanti

Foto: freepik
Buat ibu hamil yang terlewat atau tidak sempat mendapatkan durian percuma, usah risau. Pakteh Fruits turut menawarkan harga diskaun khas untuk golongan ini.
Durian Musang King dijual pada harga serendah RM10 hingga RM30 sebiji, bergantung kepada berat dan timbangan. Tawaran ini jelas melegakan ramai, terutamanya mereka yang benar-benar mengidam tetapi datang lewat. Menerusi video yang sama, pemilik kedai turut menunjukkan kualiti buah durian yang diberikan iaitu isi yang padat, warna kuning yang cantik dan jelas menyelerakan.
“Doa-doakanlah setiap hari Allah bagi rezeki. Hari ni hari pertama kita mula. Setiap orang dapat satu biji,” katanya.
Tidak dinafikan, ada juga ibu hamil yang akan merajuk atau menangis jika keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Para suami pastinya boleh memahami ‘drama kecil’ yang hadir bersama fasa mengidam ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa teruja dan berterima kasih kepada peniaga tersebut atas inisiatif yang dianggap sangat berhati mulia.
“Ya Allah baiknya. Tengah mengandung lima bulan. Insya-Allah suami cuti ni saya pergi,” komen warganet.
Ada juga yang berseloroh tentang kandungan lemak dalam durian, selain berkongsi pengalaman pernah menebus durian percuma di kedai yang sama sebelum ini.
“Tahun 2024 mengandung, dapat dua kali durian free dari Pakteh Fruits,” kongsi seorang pengguna.
Inisiatif sebegini bukan sahaja menggembirakan ibu hamil, malah mengeratkan lagi hubungan peniaga dengan komuniti setempat. Namun, bagi ibu hamil pastikan anda semak dulu tahap kesihatan sama ada boleh makan durian atau tidak ketika hamil ya.
@paktehfruits Durian Percuma Untuk Ibu Mengandung ❤️🧡💛 10 – 30 biji DURIAN PERCUMA khas untuk ibu² mengandung yg datang TERAWAL…. ✅ Agihan Bermula jam 3.00PM – sehingga habis Jika akak² sampai dan durian percuma ni dah habis…. Jangan risau kami tetap sediakan SPECIAL DISKAUN untuk semua ibu² mengandung….. ✅ Special Diskaun ( JUALAN DURIAN TIMBANGAN KILO SAHAJA ) untuk ibu mengandung bermula dari RM10 – RM30 ( Beli banyak in sha Allah akan ada lebih banyak diskaun ) In sha Allah…. Kita kongsi² rezeki….. Alhamdulillah Doakan kami 🤲☺️ ⏱️ Waktu Operasi : 10.00 pagi – 11.00 malam 🏪 BUKA SETIAP HARI #paktehfruitsviral #rezekikongsibersama #syurgabuahseluruhdunia #paktehfruits #fenomenadurianpakteh ♬ Nujum Pak Belalang Ukulele Tutorial by Azzmeir – Azzmeir Yunadi 🎤🎶
Baca juga: 7 Port Makan Durian Paling ‘Berhantu’ Di Sekitar KL & Selangor, Rasa Padu… Harga Berbaloi!
Sumber: Tiktok @paktehfruits
