Setiap kali menjelang Hari Raya, ramai yang berpusu-pusu ke bank untuk menukar duit raya. Namun, jika terlambat, peluang untuk mendapatkan duit baharu mungkin terlepas.
Menerusi perkongsian di laman TikTok, terdapat satu idea kreatif boleh dicuba agar duit raya anda kelihatan baharu sebelum diberikan kepada ahli keluarga atau kanak-kanak.
Baca juga: Senarai Penuh Mesin ATM CIMB Boleh Tukar Duit Raya, Bermula 17 Hingga 31 Mac 2025
TAK SEMPAT TUKAR DUIT RAYA? CUBA CARA INI

Dapat dilihat menerusi video berdurasi hampir satu minit, seorang wanita mencuci dan menyeterika duit kertas bernilai RM1 dan RM5 supaya kelihatan baharu sebelum diberikan ketika Hari Raya yang bakal menjelang.
Perlu diingatkan agar anda melapik wang kertas tersebut dengan kain sebelum menyeterikanya agar tidak merosakkan permukaan wang selain suhu tidak terlalu tinggi dan pada tahap sederhana sahaja.
Video perkongsian duit raya kelihatan baharu itu mendapat 1.4 juta tontonan di laman TikTok dan ternyata warganet begitu teruja dengan idea tersebut.
Bagi sesetengah orang, ini mungkin nampak seperti menambah kerja namun bagi mereka yang suka memberi duit raya dalam keadaan elok, idea sedemikian sememangnya membantu.
Menerusi ruangan komen, ada juga pengguna TikTok sebelum ini menggunakan idea yang sama kerana mahu penerima wang lebih gembira terutamanya kanak-kanak apabila melihat wang kelihatan baharu.
Walaupun begitu, ada juga warganet yang berpendapat bahawa tindakan mencuci dan menyeterika duit kertas mungkin merosakkan teksturnya malah berisiko menjadikannya mudah koyak. Namun, rata-rata komen tetap memuji usaha wanita yang dikenali sebagai Mien.
“Akak memang kreatif! Terima kasih bagi idea macam ini. Nanti sebelum balik kampung saya nak cuba,” komen pengguna media sosial.
Baca juga: Anak Kena Renjatan Elektrik Ketika Main Di Padang Putrajaya, ‘Daging’ Terbakar Sampai Dalam!
Sumber: TikTok Mien
