Salah satu berita yang membuatkan ramai dalam kalangan netizen sebak sejak beberapa hari ini adalah apabila seorang warga emas bergelar datuk merayu orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada cucunya yang hidap kanser tahap 4.
Bantuan tersebut adalah bagi menampung kos rawatan apabila cucunya disahkan menghidap kanser neuroblastoma iaitu berkaitan saraf.
CUCU HIDAP KANSER TAHAP 4, DATUK RAYU MINTA IHSAN SUMBANGAN

Foto: Keadaan Muhammad Shakil Mohd Shahrizal
Menurut laporan Bernama, Mohd Nor Husain, 65 tahun, berkata cucunya Muhammad Shakil Mohd Shahrizal yang baru berusia dua tahun disahkan menghidap kanser beberapa minggu lepas, dan memerlukan RM230,000 hingga RM250,000 bagi kos rawatan dan ubat-ubatan.
“Dua bulan lepas Muhammad Shakil mula mengalami benjolan pada beberapa bahagian tubuhnya. Kami mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM UKM) Universiti Kebangsaan Malaysia dan ketika itu doktor mengesyaki leukemia.
“Selepas seminggu di HCTM UKM, kami menghabiskan RM8,000 untuk rawatan, namun selepas pulang ke rumah, dia mengadu sakit, kakinya membengkak, dan benjolan muncul di paha serta leher. Kami kemudian merujuknya ke sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, dan dia disyaki menghidap kanser kelenjar,” katanya.
Setelah mendapatkan nasihat doktor, Muhammad Shakil dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan mengesahkan dia menghidap kanser neuroblastoma tahap empat yang memerlukan kos rawatan tinggi untuk pembedahan serta kelengkapan lain.
Oleh kerana itulah, sumbangan sangat diperlukan bagi menampung rawatan termasuk kemoterapi, pembedahan utama untuk membuang ketumbuhan dalam perut, pemindahan sum-sum tulang, radioterapi, isoterapi serta pembelian ubat import (Qarziba).
Beliau yang merupakan seorang pesara syarikat swasta berkata cucu sulungnya itu dijaga sejak kecil bersama isterinya, Fuziah Salleh, 58.
Ibu Muhammad Shakil, Amira Ilyana Mohd Nor, 29, terpaksa berhenti kerja sebagai akauntan untuk memberi tumpuan kepada penjagaan anaknya, manakala suaminya Mohd Shahrizal Jamaluddin, 27, bekerja di sebuah kilang di Sendayan, Negeri Sembilan.
*Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7633182746 atas nama Amira Ilyana Binti Mohd Nor. Semoga diberikan kemudahan dan kesembuhan ya…
Baca juga: Berjalan Guna Tangan Pakai Selipar, Netizen Sebak Tengok Semangat Berdikari Murid OKU Pergi Sekolah
Sumber: BERNAMA
