Euforia Bola 2026
Rakyat

Naik Tangga 45 Minit Lepas Kemo, Ibu Ini Cari Rezeki Buat Biskut Untuk Tampung Rawatan Sendiri..Sebak!

kanser tahap 4

Seorang wanita di Ampang yang sedang berjuang melawan kanser tahap empat mengundang sebak ramai apabila kisahnya tular di media sosial. Hal ini kerana dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, dia tetap gigih bekerja demi menampung kos rawatan sendiri.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh aktivis kebajikan terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, menerusi satu hantaran di Facebook pada 2 Mac lalu.

Baca juga: “Banyaknya Bunga Kat Kaki Ni…”- Kait Kisah Anak Amyza Aznan, Netizen Kongsi ‘Ayat Pelik’ Sebelum Insan Tersayang Meninggal

HIDAP KANSER TAHAP EMPAT, BUAT BISKUT NAK TAMPUNG RAWATAN

kanser tahap empat

Menurut Kuan, setiap kali dia berdepan dengan insan yang diuji hebat, dia merasakan masalah peribadinya terlalu kecil untuk difikirkan.

“Bila saya lihat kesusahan orang lain, masalah saya rasa terlalu remeh. Wanita ini tiada wang untuk ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan kansernya. Saya pergi jumpa dia semalam dan hulurkan RM900 untuk bantu,” kongsinya.

Difahamkan, wanita berkenaan kini sedang menjalani rawatan di hospital, namun kekangan kewangan benar-benar menguji kehidupan mereka sekeluarga. Suaminya hanya bekerja sebagai pembantu dapur, dan mereka perlu menyara seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Walaupun tubuhnya lemah, semangatnya tidak pernah pudar. Dia tetap mencari rezeki dari rumah dengan membuat biskut dan menjualnya kepada rakan-rakan serta pelanggan tetap yang setia menyokong.

Menurut Kuan, keadaan menjadi lebih mencabar selepas setiap sesi kemoterapi. Fizikalnya terlalu lemah, namun dia masih berusaha berdikari. Tinggal di tingkat tiga sebuah flat tanpa lif, dia mengambil masa sehingga 45 minit untuk mendaki tangga setiap kali pulang ke rumah.

Dari Tolak Troli Kek Ke Jual Biskut

kanser tahap empat

Sebelum ini, wanita tabah ini pernah menjual kek dengan menggunakan troli. Namun, keadaan kesihatan memaksanya beralih kepada jualan biskut yang lebih ringan dan tidak terlalu membebankan tenaga. Apa yang lebih menyentuh hati, dia tidak pernah berbicara tentang putus asa.

“Dia kata pada saya, satu hari nanti dia pasti akan kalahkan kanser ini. Dia rindu nak tolak troli dan jual kek semula,” cerita Kuan lagi.

Kuan turut memaklumkan bahawa dia sentiasa mendoakan agar wanita tersebut diberi kekuatan dan kesembuhan. Dalam setiap sesi rawatan yang dilalui, harapan tetap dipanjatkan agar suatu hari nanti wanita itu kembali sihat dan mampu berdiri teguh seperti dahulu.

Kisah ini bukan sekadar tentang kesusahan, tetapi tentang erti sebenar ketabahan seorang ibu yang tidak mahu menyerah walau diuji sehebat mana. Buat anda yang ingin membantu, boleh ke laman Facebook berkenaan ya.

Baca juga: Pakar Dedah Daun Selasih Boleh HALANG Kanser Payudara & Hati, Ini Caranya Kalau Buat Sendiri

Sumber: Chee Heng Kuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×