Bagi sebahagian remaja dari luar bandar, Kuala Lumpur dilihat sebagai ‘lubuk rezeki’ yang menjanjikan peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik. Namun, di sebalik gemerlapan kota dan lambakan iklan kerja kosong di KL ini, terselit juga kisah duka yang jarang diketahui ramai.
Begitulah nasib seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang berani berhijrah ke ibu kota untuk mencari kerja, namun akhirnya menjadi mangsa samun sebaik tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
HAJAT CARI KERJA KOSONG DI KL, TAPI REMAJA OKU INI DISAMUN DI STESEN BAS…

Kisah menyayat hati itu dikongsikan pengguna TikTok, @ezzuchang, yang kebetulan bertemu dengan remaja berkenaan dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.
“Saya di TBS, ada abang itu kata dia boleh bagi kerja. Jadi, saya ikut dia, tapi tiba-tiba dia ambil topi keledar, beg dan dompet saya sebelum lari,” cerita remaja itu dengan nada sebak.
Lebih memilukan, mangsa bukan sahaja kehilangan barangan peribadi, malah mengalami kecederaan di kepala dan tidak memakai kasut ketika ditemui, dipercayai akibat dipukul ketika kejadian.
Prihatin dengan keadaannya, pengguna Tiktok Ezzuchang ini segera membeli makanan dan minuman buat remaja tersebut yang kelihatan terlalu lapar, mungkin sudah berhari-hari tidak menjamah makanan.
“Saya dah tak ada mak ayah. Saya pegang kad OKU sebab saya ada masalah belajar. Saya minta makanan, tapi tak ada siapa nak bagi. Saya malu sebab jadi macam ni,” katanya dalam keadaan menahan air mata.
BEKALKAN SEDIKIT WANG UNTUK REMAJA ITU PULANG

Ezzuchang kemudian menenangkan remaja itu dan memanggil teksi untuk menghantarnya pulang ke TBS. Dia turut menghulurkan sedikit wang bagi membolehkan remaja itu membeli tiket pulang ke kampung atau ke mana sahaja ingin dituju.
Tersentuh dengan keikhlasan tersebut, remaja itu sempat tunduk ingin menyentuh kaki Ezzuchang sebagai tanda hormat seperti adat kebiasaan masyarakat India. Namun, Ezzuchang segera menghalangnya dengan lembut.
“Jangan, dik. Saya bantu sebab ikhlas,” katanya, sebelum kedua-duanya berpelukan dengan penuh rasa syukur.
*Kisah ini menyentuh hati orang ramai dan bukan sekadar satu peringatan tentang bahaya mempercayai orang tidak dikenali, tetapi juga cerminan nilai kemanusiaan yang masih wujud dalam masyarakat.
Dalam dunia yang semakin sibuk, sedikit keprihatinan dan tangan yang dihulur mampu membawa sinar besar kepada insan yang sedang diuji. Semoga urusan remaja ini dipermudahkan dan mendapat kerja yang dicari…
@ezzuchang Kesian budak India OKU datang KL nak cari kerja. Tapi kena samun dekat TBS😢 #ezzuchang #oppazuzukl #fyp ♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama
Sumber: Tiktok @ezzuchang
