Euforia Bola 2026
Famili

Tunku Azizah Kongsi Ciri-Ciri Jodoh Tengku Hassanal, Doakan Wanita Solehah Mampu Galas Amanah Besar

TENGKU HASSANAL

Sosok Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sering menjadi perhatian ramai bukan sahaja kerana kedudukan baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Pahang, malah kerana keperibadian, pendidikan serta sifat mesra rakyat yang dimiliki.

Baca juga: Arab Saudi Perkenal Visa Umrah Baharu, Boleh Masuk Berkali-Kali Selama Setahun!

JODOH TENGKU HASSANAL DIHARAPKAN MAMPU GALAS AMANAH

TENGKU HASSANAL

Sebagai putera sulung kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Hassanal dilihat mewarisi nilai kepimpinan serta sifat dekat dengan masyarakat daripada kedua-dua orang tuanya.

Namun, di sebalik perhatian rakyat terhadap baginda, persoalan mengenai calon suri hati Tengku Mahkota Pahang sering menjadi tanda tanya. Menyentuh perkara itu, Tunku Azizah berkongsi harapan seorang ibu agar puteranya dipertemukan dengan pasangan yang baik, berakhlak mulia serta mampu menjadi pendamping dalam perjalanan hidup dan tugas sebagai seorang pemimpin.

Menurut Tunku Azizah, baginda sentiasa mendoakan agar Tengku Hassanal dikurniakan seorang wanita solehah yang mempunyai pegangan agama dan mampu menjaga keluarga serta amanah besar yang bakal dipikul.

Bagaimanapun, baginda turut berkongsi harapan agar kesinambungan dinasti diraja Pahang dapat diteruskan menerusi perkahwinan Tengku Hassanal.

“Saya berdoa Tengku Hassanal dapat wanita yang solehah, tetapi kalau boleh Kebawah Duli Sultan Pahang dan saya mahu anak raja.

“Namun kalau sudah jodoh dengan orang lain pun, harapannya seorang yang beragama, bermaruah dan berpelajaran, boleh jaga baginda serta pandai masak. Anakanda saya cerewet,” titah baginda dalam satu temu bual khas bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut baginda, latar belakang keturunan bukanlah penentu utama dalam memilih pasangan, sebaliknya keupayaan seseorang wanita untuk memahami peranan dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada institusi diraja lebih penting.

TENGKU HASSANAL

Pasangan bakal raja perlu ada reputasi baik

Tunku Azizah menjelaskan, wanita yang bakal mendampingi Tengku Hassanal kelak bukan sahaja menjadi pasangan hidup, malah berpotensi memegang peranan besar sebagai wakil negeri sekiranya bergelar Tengku Puan Pahang atau Che Puan Pahang.

“Kena pilih dengan betul. Penting juga jaga rumah, nak besarkan anak. Tetapi yang paling penting, sesiapa yang dia kahwin itu akan menerajui negeri pada satu hari.

“Kalau jadi Tengku Puan Pahang atau Che Puan Pahang, dia akan jadi ‘ibu’ negeri. Dia akan mewakili negeri. Jadi sesiapa yang dia kahwini mestilah ada reputasi yang terpuji.

“Jadi kenapa perlu anak raja kerana dia tahu dan boleh menyesuaikan diri, tahu apa yang selalu didedahkan sebagai anak raja dan tahu tugas-tugasnya, jaga maruah sebagai anak raja,” titah baginda.

Tunku Azizah turut mengimbas nasihat ayahandanya yang mengingatkan bahawa setiap tingkah laku seorang anak raja membawa imej seluruh institusi diraja.

“Ayah saya selalu cakap pada saya, awak anak sultan, anak raja. Orang lain buat benda di tepi jalan pun tak ada orang tahu. Bila awak buat benda, seluruh negeri akan berbual. Esok orang kata anak Sultan Johor yang buat tak betul.

“Saya masih ingat ayahanda selalu bertitah, ‘biar anak saya menangis, jangan saya menangis’,” titah baginda.

Nasihat itu, menurut baginda, turut diterapkan kepada anak-anaknya supaya mereka memahami kepentingan menjaga nama baik keluarga serta memilih pasangan yang benar-benar bersedia memikul tanggungjawab.

Tunku Azizah menegaskan perkara paling utama adalah calon pasangan tersebut mempunyai pegangan agama yang kukuh, berakhlak baik, memahami budaya Melayu serta bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai suri kepada seorang raja.

“Hanya Allah yang tahu siapa jodoh terbaik untuk Tengku Hassanal, jodoh di tangan Allah. Saya doakan anak saya dikurniakan jodoh terbaik, bakal menjadi ibu kepada cucu saya dan satu hari nanti mengganti saya sebagai ibu rakyat Pahang,” titahnya.

Baca juga: Peluang Menang Nissan Kicks e-POWER Dalam Kempen Tonton Non Stop, On Top! Pusingan Ketiga

Sumber: Utusan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×