Euforia Bola 2026
Inspirasi

Tengku Hassanal Catat Sejarah Kerabat Diraja Pahang Pertama Jadi Anggota Elit PASKAU, Pangkat Mejar TUDM!

tengku mahkota pahang

Suasana penuh dengan kebanggaan dan emosi menyelubungi Pantai Hiburan, Rompin apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan sendiri anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, ditauliah sebagai anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) pada Ahad (26 Oktober 2025).

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa teruja dan syukur atas pencapaian luar biasa itu malah menyifatkan hari bersejarah tersebut sebagai detik istimewa buat seluruh keluarga diraja Pahang!

Baca juga: ‘Prince Charming’ Di Alam Nyata, Ini Biodata Penuh Tengku Hassanal Yang Ramai Nak Tahu!

TENGKU MAHKOTA PAHANG KINI ANGGOTA PASKAU BAWA GELARAN ‘MEJAR’, PERTAMA DALAM KERABAT DIRAJA PAHANG

tengku mahkota pahang

“Hari ini amat istimewa bagi saya dan keluarga kerana dapat melihat dengan bangga lahirnya seorang anggota PASKAU dalam kalangan keluarga diraja Pahang. Mudah-mudahan akan ada lagi yang mengikut jejak langkah ini,” titah baginda Sultan Pahang penuh rasa bangga.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Jamuan Diraja yang diadakan selepas Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/2025 di Pantai Hiburan, Rompin. Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang sendiri.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Dalam upacara penuh simbolik, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan serta memakaikan Beret Biru PASKAU kepada Tengku Mahkota Pahang dan Panglima Tentera Udara sebagai tanda pengiktirafan rasmi. Beret yang menjadi lambang kebanggaan pasukan elit TUDM itu turut disarungkan kepada seorang pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya melepasi latihan mencabar, serta menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa mereka.

“Ibu bapa wajar berasa bangga dan bersyukur kerana anak-anak kini menjadi sebahagian daripada pasukan elit negara. Mereka adalah wira tanah air yang sebenar,” titah baginda lagi.

SULTAN ABDULLAH MEMANG BERDEBAR TENGOK LATIHAN TERJUNAN PAYUNG

tengku mahkota pahang

Menyentuh tentang pengalaman peribadi, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi rasa berdebar ketika menyaksikan sendiri latihan terjunan payung yang dijalani oleh para pelatih, termasuk Tengku Mahkota Pahang, di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kuala Terengganu.

“Sebagai seorang bapa, saya amat berdebar tetapi dalam masa sama sangat berbangga. Ia pengalaman berharga dapat melihat anakanda sendiri melakukan latihan terjunan itu,” titah baginda dengan nada penuh emosi.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan memaklumkan bahawa Tengku Mahkota Pahang memulakan latihan kepakaran PASKAU sejak Julai lalu, meliputi pelbagai modul ekstrem yang menguji keupayaan fizikal dan mental.

“Kursus Asas PASKAU Siri 32/2025 bermula pada 28 Julai dan berakhir hari ini. Daripada 53 peserta asal, hanya 22 termasuk Tengku Mahkota yang berjaya menamatkan latihan. Ini bukti bahawa hanya mereka yang memiliki ketahanan dan disiplin luar biasa layak menyarung Beret Biru PASKAU,” katanya.

Majlis penuh berprestij itu bukan sahaja menjadi lambang ketabahan dan semangat juang tinggi pasukan elit negara, tetapi juga menandakan satu babak bersejarah dalam institusi diraja Pahang apabila seorang putera mewakili keturunan diraja di medan keberanian.

Untuk rekod, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah telah diputerakan pada 17 September 1995 dan kini berusia 30 tahun serta masih bujang.

Baca juga: Kenali Wajah Putera & Puteri Kerabat Diraja Pahang, Pasti Ramai Nak Tahu!

Sumber: Kesultanan Pahang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×