Pendakian Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke puncak Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Kembara Mahkota Borneo menjadi perhatian ramai apabila perjalanan baginda diikuti ribuan rakyat menerusi siaran langsung di TikTok.
Baca juga: “Pelajaran Boleh Tunggu” – Pengorbanan Amirah Ketepi Cita Cita Demi Nenek Strok Sentuh Hati Ramai
TENGKU MAHKOTA PAHANG MENDAKI GUNUNG KINABALU

Foto: Kesultanan Pahang
Ekspedisi berkenaan bukan sahaja menarik perhatian pencinta aktiviti mendaki, malah turut menjadi topik hangat di media sosial apabila ramai pengguna TikTok dilihat setia mengikuti perkembangan semasa perjalanan Tengku Hassanal menuju ke puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.
Pendakian tersebut turut memperlihatkan sisi kepimpinan, ketahanan fizikal serta disiplin tinggi baginda apabila menyertai sendiri misi pendakian yang mencabar dengan ketinggian lebih 4,000 meter dari aras laut.
Tengku Hassanal memulakan pendakian pada jam 8 pagi dari Checkpoint Timpohon sempena Ekspedisi Kembara Mahkota Borneo.
Sebelum memulakan perjalanan, baginda terlebih dahulu mendengar taklimat keselamatan dan penerangan laluan pendakian yang disampaikan oleh Renjer Taman Kinabalu, Encik Julaimin.
Majlis turut disusuli dengan bacaan doa selamat yang dipimpin Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar bagi memohon agar perjalanan pendakian Tengku Mahkota Pahang dan seluruh rombongan dipermudahkan serta berada dalam keadaan selamat sepanjang ekspedisi berlangsung.
Turut mengiringi baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Disertai Anggota PASKAU Dan Pengiring PDRM
Ekspedisi berkenaan disertai seramai 56 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendakian yang dijadual berlangsung selama dua hari satu malam itu memerlukan peserta bermalam di Panalaban sebelum meneruskan perjalanan ke puncak pada awal pagi keesokan harinya.
Difahamkan, rombongan selamat tiba di Checkpoint Panalaban sekitar jam 3.45 petang selepas hampir lapan jam mendaki laluan mencabar Gunung Kinabalu.
Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara serta terkenal sebagai antara destinasi pendakian paling mencabar di rantau ini.
Selain memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, pendaki juga perlu berdepan perubahan cuaca yang tidak menentu serta laluan berbatu terutama ketika menuju ke puncak.
Pendakian Tengku Hassanal Jadi Tumpuan Netizen

Foto: Kesultanan Pahang
Apa yang paling mencuri perhatian ialah suasana sepanjang pendakian baginda yang dikongsikan secara langsung di TikTok oleh beberapa pengguna media sosial termasuk porter Gunung Kinabalu, Jerry Junim.
Salah satu siaran langsung tersebut dilaporkan mencecah hampir 13,000 tontonan dengan ramai netizen dilihat seolah-olah “mendaki bersama” Tengku Hassanal menerusi video live berkenaan.
Menerusi rakaman yang tular, Tengku Hassanal dilihat santai melayan sapaan pendaki lain selain beberapa kali tersenyum dan beramah mesra sepanjang perjalanan.
Dalam satu video lain yang turut dikongsikan pengguna TikTok, baginda dilihat bersemangat dan ceria ketika mendaki malah sempat mengakui bahawa baginda “enjoy” dengan pengalaman tersebut.
Ruangan komen siaran langsung itu turut dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada rakyat yang teruja melihat kesungguhan Tengku Mahkota Pahang menyertai ekspedisi mencabar tersebut.
Ramai menyifatkan baginda sebagai seorang yang mesra, merendah diri dan mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi walaupun berada dalam situasi lasak.
Tidak kurang juga yang aktif bertanya perkembangan semasa pendakian termasuk keadaan cuaca di kawasan gunung, lokasi semasa rombongan serta perkembangan perjalanan menuju ke puncak.
Ada juga netizen yang mengakui mereka sanggup berjaga malam semata-mata mahu mengikuti siaran langsung perjalanan baginda menuju ke puncak Gunung Kinabalu.
Ekspedisi Mahkota Borneo itu secara tidak langsung turut memperlihatkan hubungan rapat antara institusi diraja dan rakyat apabila ramai pengguna media sosial dilihat memberikan kata-kata semangat serta doa agar perjalanan Tengku Hassanal dan rombongan dipermudahkan sehingga berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dengan selamat.
TERKINI: Tengku Hassanal sudah selamat sampai di Puncak Gunung Kinabalu.

Foto: Facebook Dun Sidumin Sipitang
@jvy_tenangisgood selamat datang Tengku Mahkota Pahang..Trima kasi sebap datang mendaki di #gunungkinabalu#sabah #fyp ♬ original sound – Jvy waterproof Shop
Sumber: Kesultanan Pahang dan Tiktok @jvy_tenangisgood
FT Images: Kesultanan Pahang
