Setiap kali tiba Aidilfitri, budaya bagi duit raya seolah-olah menjadi satu keutamaan terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kanak-kanak paling teruja, manakala orang dewasa pula sibuk menyediakan sampul berisi wang untuk diberikan kepada saudara-mara dan tetamu. Namun, adakah budaya ini sekadar tradisi atau sebenarnya membawa makna yang lebih mendalam?
Baca juga: Tangan Murid Cedera Akibat Tertusuk Besi Karat Tangga Sekolah, JPN Diminta Buat Siasatan Lanjut
BUDAYA BAGI DUIT RAYA BUKAN BUDAYA ISLAM

Menerusi perkongsian di laman Facebook, memberi duit raya bukanlah satu budaya di dalam Islam namun boleh memberinya sebagai sedekah.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting agar tidak membiarkan anak mereka berkelakuan tidak sopan di hadapan pemberi duit raya tersebut.
Budaya memberi duit raya bukanlah satu amalan dalam Islam. Jika mahu memberi atas dasar sedekah jariah, itu memang digalakkan. Namun, sebagai sedekah jariah, ia bergantung kepada kemampuan si pemberi—tak kisah berapa jumlahnya, walaupun hanya seringgit.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak agar tidak membuka sampul duit raya di hadapan orang lain dan tidak meminta-minta duit raya. Perbuatan itu nampak kurang sopan. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang terus bertanya kepada anak-anak selepas mereka menerima duit raya,
“Berapa orang tu bagi?”
Bukan semua orang mampu memberi duit raya dalam sampul berwarna hijau, merah, oren, biru muda, atau ungu. Dengan kenaikan tarif elektrik dan harga barang yang semakin tinggi, ramai yang hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan sendiri.
Jika ada rezeki lebih dan mampu memberi, itu sesuatu yang baik. Tetapi jangan pula sampai timbul perasaan riak hanya kerana ingin menunjukkan jumlah dalam sampul. Keikhlasan lebih utama daripada menunjuk-nunjuk.
Bagi yang tidak mampu, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai walaupun tanpa duit raya. Tetamu yang membawa anak-anak beraya juga perlu memahami keadaan ini.
Janganlah mengata atau memperlekehkan mereka yang tidak memberi duit raya atau hanya mampu memberi seringgit dua. Ini bukan soal kedekut atau berkira, tetapi kalau memang bajet sudah ketat, dari mana lagi mahu dikorek?
Hari ini mungkin hari mereka, esok lusa siapa tahu giliran kita pula? Hidup ini seperti roda, sentiasalah bersederhana dalam menyambut Hari Raya.
Baju lama? No hal.
Kuih tak ada? No hal.
Tak dapat beri duit raya? No hal.
Cukup sekadar berkata,
“Maaf, tahun ini rezeki agak sempit. Doakan saya dimurahkan rezeki selepas ini.”
Orang yang beriman dan berhati bersih akan faham serta mendoakan yang baik-baik. Tidak akan mengumpat atau menjadikan perkara ini sebagai bahan cerita. Takkan baru lepas minta maaf, dah tambah dosa baru pula, kan?
Baca juga: Tabung Haji Umum Dividen 2024 Sebanyak 3.25%, Terbaik Dalam 7 Tahun & Mula Dikreditkan Hari Ini
Sumber: Facebook Pakar Diari Hati
