Isu perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Malaysia kini semakin rumit, lebih-lebih lagi apabila timbul dakwaan bahawa ada suami yang meletakkan harga tinggi sebagai syarat untuk melafazkan cerai dipanggil tebus talak. Lebih menyedihkan, alasan itu kononnya ‘atas arahan mahkamah’.
Fenomena ini semakin kerap berlaku, khususnya apabila wanita yang mahu keluar daripada perkahwinan toksik terpaksa berdepan tuntutan tidak munasabah daripada suami, hanya kerana mereka sendiri yang memohon cerai.
Baca juga: Jenis & Beza Talak Penceraian Dalam Islam, Fikir Dahulu Sebelum Lafazkan Ya..
SYARAT TEBUS TALAK, SUAMI PAKSA BAYAR RM50,000 KALAU NAK BERCERAI?

Foto: freepik
Baru-baru ini, seorang wanita tampil dengan kisah mengejutkan apabila dia mendakwa suaminya menuntut RM50,000 sebagai syarat untuk bercerai, sambil mendakwa jumlah itu ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.
“Betul ke kena bayar RM50,000 kalau isteri nak minta cerai?” soalan kepada peguam syarie Fahmi Ramli, selepas keluar dari perbicaraan dalam keadaan sebak dan keliru.
Fahmi Ramli yang aktif memperjuangkan hak kekeluargaan Islam, tampil memberi pencerahan bahawa tiada mana-mana mahkamah menetapkan bayaran tetap untuk tebus talak. Dakwaan seperti itu bukan saja salah, malah berisiko menindas wanita yang tidak tahu hak mereka.
Menurut beliau, dalam Islam, tebus talak berlaku apabila isteri menawarkan sesuatu kepada suami sebagai pertukaran untuk dilepaskan. Namun, ia bukan satu kewajipan dan bukan hukuman atau denda kepada isteri. Apa yang lebih penting, jumlah bayaran itu perlu dipersetujui kedua-dua pihak dan bukan ditentukan sesuka hati.
“Ada yang terpaksa bayar RM10,000, RM20,000 bahkan RM100,000 hanya kerana tidak tahu ia sebenarnya bukan kewajipan,” jelas Fahmi.
Wujud Sejak Zaman Nabi

Foto: freepik
Beliau turut berkongsi kisah isteri kepada sahabat Nabi, Thabit bin Qais, yang meminta cerai walaupun suaminya berakhlak mulia. Rasulullah SAW membenarkan penceraian selepas isteri itu memulangkan kebun yang pernah diterima sebagai mahar. Ia menjadi asas kepada konsep tebus talak dalam Islam.
Tebus talak ini dikategorikan sebagai Talak Bain Sughra, bermakna pasangan tidak boleh rujuk dalam tempoh iddah, tetapi boleh berkahwin semula dengan akad dan mahar yang baharu.
Dalam mazhab Syafie, tiada jumlah khusus ditetapkan untuk tebus talak. Isteri boleh menawarkan sebarang bentuk harta, termasuk memulangkan mas kahwin. Namun, ia haruslah atas dasar persetujuan bersama. Jika berlaku pertikaian, Mahkamah boleh membantu menaksir jumlah munasabah berdasarkan kemampuan kewangan dan taraf hidup masing-masing sebagaimana disebut dalam Seksyen 49(3) Enakmen Keluarga Islam Kedah.
“Tetapi jika salah satu pihak tidak bersetuju, mahkamah tidak boleh memaksa bayaran dibuat. Ia seperti jual beli, jika tiada persetujuan dua pihak, proses tidak boleh diteruskan,” tambah Fahmi.
Beliau turut memberi amaran agar tidak ada pihak menjadikan tuntutan tebus talak ini sebagai ‘modal kahwin baharu’.
“Jangan takut untuk bertanya. Jangan mudah tunduk pada syarat yang tak masuk akal. Setiap wanita berhak keluar dari perkahwinan yang menyakitkan, tanpa perlu ‘membayar’ kebebasan mereka.”
Baca juga: 90 Peratus Rumah Tangga Berakhir Dengan Pergaduhan & Penceraian Kerana Tidak Solat
Sumber: Fahmi Ramli Official
