Bayi kembar 3 yang dilahirkan hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) menerima kunjungan istimewa apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan melawat mereka di Hospital Melaka.
Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 9.45 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam bersama isteri. Lawatan tersebut berlangsung sekitar 45 minit, dalam suasana penuh tenang dan menyentuh hati.
Baca juga: Ibu Buta Merangkak Keluar Sejauh 150 Meter Minta Bantuan, Selepas Anak OKU Meninggal Dunia
TAP BERKENAN MELAWAT BAYI KEMBAR 3, PASANGAN MEJAR FIKRY & PUAN SABRINA

Gambar: Facebook Kesultanan Pahang
Bayi-bayi tersebut merupakan cahaya mata kepada pasangan Mejar Ir. Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Puan Sabrina Hakiem Zaini.
Dua daripada kembar ini, Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa, ditempatkan di wad penjagaan biasa, manakala Maryam Al Khawla sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana memerlukan pembedahan jantung.
Menariknya, ketiga-tiga bayi ini merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan menerusi inisiatif Yayasan Fertiliti Tunku Azizah sejak ditubuhkan pada tahun 2004.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar pasangan ini menjaga sendiri anak-anak mereka, tanpa meletakkan di bawah kawalan atau jagaan orang lain.
“Saya harap mereka jaga sendiri dan bersyukurlah Allah SWT kurniakan tiga anak sekaligus selepas diuji dengan kehilangan seorang anak sebelum ini,” titah baginda.
Paduka Baginda turut mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang sepenuhnya.
Baca juga: Pakar Kongsi 13 Tips Cepat Sembuh Luka C-Sec Lepas Bersalin

Gambar: Facebook Kesultanan Pahang
Terdahulu, pasangan ini pernah kehilangan cahaya mata lelaki berusia lapan bulan akibat kecuaian pengasuh di sebuah taman asuhan, selepas menunggu selama 13 tahun untuk dikurniakan zuriat. Kisah mereka telah mengundang kesedihan dan simpati seluruh rakyat Malaysia.
Pada Januari lalu, atas rasa keprihatinan, Tengku Ampuan Pahang menawarkan rawatan IVF percuma melalui TAFF kepada pasangan ini, yang akhirnya dikurniakan tiga permata sekaligus.
Sehingga kini, TAFF telah menaja seramai 553 pasangan suami isteri dari seluruh negara yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, menjadikan inisiatif ini antara program kebajikan diraja paling bermakna untuk rakyat.
Baca juga: Tercicir Dari Keluarga, Anak 2 Tahun Berjaya Diselamatkan Polis & Orang Awam
Sumber: Facebook Kesultanan Pahang
FT Image: Kesultanan Pahang
