Ujian hidup yang berat pernah menimpa keluarga ini apabila anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh, meninggal dunia selepas menjadi mangsa penderaan pengasuh. Kini, takdir sekali lagi menguji kekuatan seorang bapa, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri apabila anak kembar hasil rawatan IVF pula berada dalam keadaan kritikal.
Baca juga: Kronologi Kes Kematian Bayi Al Fateh, LEMAS Disumbat Botol Susu & Ditekup Muka Oleh Pengasuh
ANAK KEMBAR NOMBOR 2 DALAM KEADAAN KRITIKAL, MEJAR MOHD FIKRY MOHON DOAKAN MARYAM

Foto: Instagram
Bapa kepada anak-anak syurga ini, merayu agar orang ramai sudi menghadiahkan doa kesembuhan buat anak kembar keduanya, Maryam Al Khawla, yang sedang bertarung nyawa di hospital.
Untuk rekod, pasangan ini dikurniakan kembar tiga pada 25 Oktober tahun lalu menerusi rawatan IVF yang ditaja oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), sebuah inisiatif kebajikan yang diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bayi pertama seberat 1.8 kilogram dilahirkan pada jam 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78 kilogram pada jam 9.42 pagi dan bayi ketiga seberat 1.93 kilogram pada jam 9.46 pagi.
Kehadiran cahaya mata ini menjadi sinar harapan selepas tragedi kehilangan anak sulung mereka sebelum ini. Namun, harapan itu kini diuji sekali lagi apabila Maryam Al Khawla (kembar nombor dua) dilaporkan berada dalam keadaan tenat dan semakin lemah.
Menerusi perkongsian menyentuh hati di media sosial, Mohd Fikry memohon doa ikhlas daripada semua yang mengenali dirinya dan isteri agar anak mereka dipermudahkan urusan kesihatan serta dikurniakan keajaiban kesembuhan.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar no.2). Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa’ atas berkat doa kalian semua.
Hanya doa kalian yang kami pinta… doakan kami terus kuat menempuh ujian ini..” tulisnya.

Luahan ringkas itu cukup menggambarkan betapa peritnya ujian yang sedang dilalui oleh pasangan ini, seorang ayah dan ibu yang pernah kehilangan, kini berjuang mempertahankan harapan yang masih ada.
Perkongsian tersebut mengundang simpati ramai netizen yang membanjiri ruangan komen dengan doa, kata-kata semangat serta harapan agar Maryam Al Khawla terus kuat melawan sakitnya.

Foto: Ketika menerima kunjungan Tunku Azizah selepas selamat melahirkan kembar.
Semoga setiap doa yang dipanjatkan menjadi asbab keajaiban, dan keluarga ini dikurniakan kekuatan luar biasa untuk terus berdiri menghadapi ujian yang tidak semua mampu lalui.
Sama-sama kita doakan semoga Maryam Al Khawla dipermudahkan urusan, diberi kesembuhan dan membesar sebagai anak yang sihat, insya-Allah.
Baca juga: Petua Dapat Zuriat Dengan Mandi Hujan, Pasangan Romantis Ini Mencuba Nasib
Sumber: Berita Harian, Instagram @mohdfikryamri
