Di sebalik kemelut pertikaian tanah yang melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, terserlah satu tindakan penuh keprihatinan daripada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda menawarkan kepada keluarga daripada komuniti Orang Asli yang memerlukan tempat tinggal untuk berpindah dan menetap di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.
TUNKU AZIZAH TAWAR TANAH MILIKNYA UNTUK PENEMPATAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Foto: Astro Awani
Pelawaan itu bukan sekadar pemberian tempat berteduh, tetapi tanda kasih serta kepedulian baginda terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli yang berdepan kebimbangan mengenai masa depan penempatan mereka.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, Tunku Azizah sentiasa mengikuti perkembangan isu berkenaan dan memahami kesukaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.
Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Pahang, malah mempunyai tempat yang istimewa di hati baginda.
Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda, peranan masyarakat Orang Asli dalam pembangunan negeri Pahang sejak dahulu lagi didapati amat penting.
Justeru, kesejahteraan serta masa depan komuniti berkenaan sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.
Jaminan Tidak Akan Dipinggirkan Jika Tanah Dibangunkan

Foto: Berita Harian
Atas rasa prihatin, Tunku Azizah membuka ruang kepada keluarga Orang Asli Kampung Sungai Cot yang memerlukan penempatan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau.
Lebih menyentuh hati, baginda turut memberi jaminan bahawa mereka tidak perlu bimbang mengenai masa depan sekiranya tanah tersebut dibangunkan pada masa akan datang.
Baginda akan memastikan penduduk yang menetap di situ terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.
“Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pelawaan berkenaan juga terbuka kepada mana-mana masyarakat Orang Asli lain yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, Tunku Azizah menyeru semua pihak supaya mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati serta berunding dengan penuh hikmah bagi mencari penyelesaian yang adil.
Semoga usaha ini dapat memberikan kelegaan kepada masyarakat Orang Asli yang terkesan serta memastikan kebajikan mereka terus terbela demi keharmonian negeri Pahang.
Sumber: Berita Harian
