Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Kalau Duduk Rumah Pun Tak Boleh…”- Atok Usia 71 Gigih Jadi ‘Grab Rider’ Demi Sara Anak Strok

PENGHANTAR MAKANAN

Di saat ramai seusianya memilih berehat di rumah bersama keluarga, seorang warga emas berusia 71 tahun masih setia meredah panas dan hujan demi mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

Bukan kerana minat semata-mata, tetapi tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan Zakaria Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Atok Grab terus kuat bekerja walaupun kudrat semakin terbatas.

Baca juga: “Umi Pengsan 4 Kali Lihat Keadaan Anak…” Empat Pelajar Cedera Parah Kemalangan Dengan Kereta Guru

CARI REZEKI SEBAGAI PENGHANTAR MAKANAN DI USIA 71

PENGHANTAR MAKANAN

“Malu jangan fikir, kerja yang baik kita buat saja.”

Itu pegangan hidup Zakaria Abdul Wahab, 71 atau lebih dikenali sebagai Atok Grab dalam kalangan pelanggan dan rider yang masih gigih mencari rezeki sebagai penghantar makanan walaupun sudah bergelar warga emas.

Zakaria mula menyertai platform Grab pada 2021 ketika pandemik COVID-19 melanda dan sejak itu terus kekal di jalanan demi menyara keluarga.

Menurutnya, dia memilih kerja itu kerana sistemnya lebih mudah, fleksibel dan tidak terlalu rumit berbanding pekerjaan lain.

“Sistem Grab ini mudah tidak kira usia muda atau berusia macam saya sebab hanya ambil tempahan dan hantar, jika nak cancel pun mudah, tidak menyusahkan,” jelasnya.

Walaupun sudah berusia, Zakaria tetap memikul tanggungjawab keluarga termasuk membantu anak yang mengalami masalah kesihatan sejak sembilan bulan lalu.

Katanya, keadaan itu membuatkan dia perlu terus bekerja bagi menampung keperluan harian yang semakin tinggi.

“Kalau duduk rumah saja pun tak boleh, saya kena keluar bekerja kerana saya ada anak dan isteri yang perlu ditanggung apatah lagi anak sulung yang berusia 39 tahun mengalami serangan strok.

“Sebelum ini, anak sulung banyak membantu mencari rezeki dengan menjadi pemandu e-hailing Grab, jadi sekarang saya hilang ‘tulang belakang’.

“Malah, saya kini mencari duit tambahan untuk membawa dia berubat supaya sihat kembali,” katanya.

Zakaria tidak terlepas daripada risiko menjadi penghantar makanan apabila pernah terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lalu membabitkan lori 10 tayar.

Tak Patah semangat nak cari rezeki

PENGHANTAR MAKANAN

Walaupun insiden itu meninggalkan kesan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki di jalanan. Bercerita mengenai pendapatan, Zakaria berkata, ia bergantung kepada cuaca dan permintaan.

“Paling banyak 20 tempahan sehari, kadang-kala lebih sikit jika cuaca baik, boleh cecah lebih RM100 termasuk tip. Namun, saya tidak berapa kuat seperti dulu untuk bekerja dari pagi hingga malam, sekarang saya terpaksa hadkan waktu bekerja,” ujarnya.

Menurutnya, tip daripada pelanggan dianggap rezeki tambahan dan dia tidak pernah meminta-minta untuk diberikan tip. Selain itu Zakaria berkata, usia bukan alasan untuk berhenti bekerja selagi masih mampu bergerak dan sihat.

Katanya, bekerja turut membantu dirinya kekal aktif berbanding hanya duduk di rumah. Dalam pada itu, Zakaria turut menasihatkan golongan muda supaya tidak terlalu memilih kerja.

Menurutnya, pengalaman hidup mengajar dia bahawa setiap pekerjaan boleh dipelajari jika ada kemahuan.

Zakaria turut meluahkan harapan supaya bantuan kepada warga emas yang masih bekerja dapat dipermudahkan tanpa perlu melalui terlalu banyak syarat dan dokumen.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, Zakaria tetap meneruskan rutin hariannya di jalanan demi satu tujuan, memastikan keluarganya terus terbela.

Sebelum ini, kisah Zakaria mula tular di media sosial selepas dia dilihat masih gigih bekerja sebagai penghantar Grab walaupun sudah berusia 71 tahun, sekali gus mencuri perhatian ramai yang kagum dengan semangatnya mencari rezeki tanpa mengenal usia.

Orang ramai yang ingin meringankan beban Atok Grab boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (Zakaria Abdul Wahad) 162861090894.

Baca juga: Patutlah Ramai Berebut Beli, Rupanya Isi Ikan Tongkol Berkilat ‘Pelangi’ Ini Tanda Memang Fresh!

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×