Dalam dunia yang semakin sibuk, masih ada insan berhati mulia yang sanggup berhenti seketika demi membantu warga emas walaupun sedang mengejar rezeki.
Itulah yang membuatkan ramai tersentuh selepas tular satu video di TikTok memaparkan tindakan seorang penghantar makanan membantu seorang pak cik yang berkerusi roda di tepi jalan.
ABANG ‘RIDER’ BERHENTI TEPI KETIKA BEKERJA BANTU WARGA EMAS BERKERUSI RODA

Menerusi perkongsian video oleh pengguna TikTok @ochulaah, pak cik berkerusi roda itu dilihat sedang bergelut untuk bergerak sebelum seorang rider bertindak berhenti dan menghulurkan bantuan.
Apa yang lebih menyentuh hati, sikap rider tersebut bukan sekadar membantu menolak kerusi roda, malah turut membawa pak cik itu ke kawasan yang lebih teduh selain mengalihkan barang-barangnya ke tempat lebih mudah dicapai.
“Abang rider tu tak lalu je… dia pilih untuk berhenti dan tolong pakcik tu. Itu yang buat aku sebak,” tulis pemilik video berkenaan.
Tambahnya lagi, tindakan rider itu cukup menyentuh hati kerana dilakukan ketika ramai penghantar makanan biasanya sibuk mengejar masa demi menyiapkan pesanan pelanggan.
“Dalam sibuk kejar order dan cari rezeki, abang ni masih sempat fikir pasal orang lain.
“Kadang orang yang paling penat cari rezeki, dia jugak yang paling ikhlas membantu,” katanya.

“Saya tengok dah macam bapak saya sendiri,” – Abang rider
Menjengah ke ruangan komen, individu dipercayai rider berkenaan turut meninggalkan komen selepas videonya menjadi tular di media sosial.
Menurutnya, dia langsung tidak menyangka tindakannya itu akan mendapat perhatian ramai kerana niat asalnya hanyalah mahu membantu dengan ikhlas.
“Assalamualaikum & salam sejahtera semua, tak terfikir pun akan viral macam ini sekali,” tulisnya.
Tambah rider itu lagi, dia tergerak hati membantu kerana melihat pak cik tersebut seperti bapanya sendiri.
“Saya memang niat ikhlas nak tolong pakcik tu sebab saya tengok dah macam bapa saya sendiri,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dirinya dan keluarga.
“Semoga doa doa tu berbalik pada korang semua. Minta selitkan sekali doa untuk bini saya selamat bersalin,” katanya lagi.
Baca juga: Off Duty Tapi ‘Tak Off’ Tanggungjawab, Jururawat Pantas Selamatkan Wanita Tercekik Dipuji
Ramai puji adab dan keikhlasan rider
Perkongsian video itu nyata membuatkan ramai warga maya tersentuh hati dan memuji tindakan rider berkenaan yang dianggap sangat ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan.
“Di dalam dunia ini ramai orang baik baik, jika kita tidak menemui salah seorang daripada mereka, kita jadilah salah seorang daripada mereka,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna turut meninggalkan komen berbunyi, “Kena cari sampai dapat rider ini.. orang baik macam ini layak dijadikan contoh untuk orang lain. Salute!”
Tidak kurang juga yang menyifatkan penampilan bukan ukuran hati seseorang.
“Style rempit dan rambut panjang, tapi hati emas,” komen pengguna lain.
Malah, ramai turut melihat video itu sebagai satu pengajaran tentang nilai keikhlasan dalam membantu tanpa mengharapkan pujian.
“Dia tk rakam, hati dia tulus tapi Allah gerak kan hati abang ini untuk rakam kebaikan dia untuk orang lain pelajari apa itu ikhlas dalam membantu orang lain,” tulis warga maya lain.
Kadang-kadang, perkara yang nampak kecil di mata orang lain sebenarnya memberi makna besar kepada seseorang yang sedang memerlukan bantuan. Dalam dunia yang serba laju hari ini, kisah seperti ini menjadi peringatan bahawa nilai kemanusiaan dan ihsan masih wujud di sekeliling kita.
@ochulaah* “Abang rider tu tak lalu je… dia pilih untuk berhenti dan tolong pakcik tu. Itu yang buat aku sebak.” * “Dalam sibuk kejar order dan cari rezeki, abang ni masih sempat fikir pasal orang lain 🥹” * “Kadang orang yang paling penat cari rezeki, dia jugak yang paling ikhlas membantu.” * “Aku rakam bukan sebab nak viral… tapi sebab hati aku tersentuh tengok kebaikan macam ni.” * “Semoga segala urusan abang rider ni dipermudahkan, sebab dia dah mudahkan urusan pakcik tu 🤍” * “Kecil bagi orang lain, tapi besar bagi pakcik tu. Terima kasih abang rider.” izin saya post bang🙏🏻🙏🏻♬ Sampai Menutup Mata Piano – DNP
Sumber: TikTok @ochulaah
FT Image: TikTok @ochulaah
