Sejak pak ngahnya terlantar akibat kemalangan serius pada 2016, seorang anak saudara menjadi penghibur setia yang sentiasa menceriakan hari-harinya.
Kehadiran Aleesa Nur Keisha Mohamad Khalid, 6, setiap hari bukan sahaja mengundang gelak tawa tetapi juga menjadi sumber kekuatan emosi buat pak ngahnya yang sudah hampir sedekad tidak boleh bergerak.
ANAK SAUDARA SINAR KEBAHAGIAAN PAK NGAH YANG TERLANTAR

Kisah tragis pak ngah
Gelagat Aleesa menarik perhatian ramai selepas videonya tular, menunjukkan kanak-kanak itu sentiasa menghiburkan pak ngahnya melalui nyanyian, permainan, dan berbual mesra.
Ibu Aleesa, Fatin Nur Shahira Mahat, 32, menceritakan bahawa adiknya, Muhammad Nur Aliff bin Mahat, 28, mengalami kemalangan serius ketika berumur 19 tahun yang menyebabkan kecederaan di kepala dan badan, sekali gus membuatkannya terlantar sepenuhnya.
“Sejak kejadian itu, adik saya hanya bergantung sepenuhnya kepada keluarga. Saya berhenti kerja tiga tahun lalu untuk menjaganya selepas arwah ibu dan ayah meninggal dunia.
“Sebelum itu, arwah ayah yang menjaganya. Dia merupakan satu-satunya adik saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Fatin, ketika kejadian, adiknya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal apabila dilanggar sebuah kenderaan lain.
Akibat kemalangan itu, adiknya koma kira-kira dua minggu dan lumpuh sepenuhnya, hanya mampu menggerakkan kepala manakala untuk makan dan buang air, dia bergantung sepenuhnya kepada tube perubatan.

Keajaiban hadirnya anak saudara
Kehadiran Aleesa setiap hari memberi keceriaan kepada pak ngahnya. Kanak-kanak itu sering berbual, menyanyi, menonton televisyen dan bermain bersamanya.
Fatin menjelaskan bahawa walaupun pak ngahnya tidak boleh menggerakkan badan, responnya yang tersenyum atau ketawa menunjukkan dia gembira dengan perhatian anak saudara itu.
“Momen kecil seperti gelak tawa dan sentuhan kasih sayang Aleesa memberi kekuatan emosi yang sukar digambarkan, terutama bagi adik saya yang sudah lama terlantar,” kata Fatin.
Fatin menambah, pengalaman menjaga adiknya bukan sahaja menekankan kepentingan sokongan emosi dalam pemulihan, tetapi juga menjadi bukti bahawa kasih sayang dan hubungan kekeluargaan mampu menjadi ‘ubat’ paling bermakna walaupun tanpa bantuan luar biasa.
@fnsm89im forever grateful with this view. terima kasih anakku kerana sentiasa jd anak yg memahami. moga keredhaan kebahagian dan rahmat Allah sentiasa mengiringi setiap langkah hidupmu didunia mahupun akhirat. *ibu garang suka marah but deeply ibu lah yg paling paling syg and care tntg anak². sekian dari ibu tarzan 😅♬ original sound – Hannah Delisha Official FC – Delisha Darlings
Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!
Sumber: Sinar Harian / TikTok @fnsm89
FT Image: TikTok @fnsm89
